Lambakan pemain naturalisasi hilangkan seri Sukan SEA Kemboja 2023
Kejohanan Sukan SEA Kemboja 2023 yang sedang berlangsung ketika ini diselubungi oleh pelbagai kontroversi melibatkan tuan rumah, Kemboja yang dianggap sebagai tidak adil.
Antara isu yang paling mendapat perhatian ramai adalah penggunaan atlet naturalisasi oleh tuan rumah dalam banyak acara sukan termasuk bola keranjang, kriket dan hoki.
Kemboja dikecam kerana atlet-atlet yang mewakili negara itu untuk acara-acara tersebut kebanyakannya adalah atlet naturalisasi dan bukannya warga tempatan.
Justeru itu, Ketua Kontinjen Sukan (CDM) Malaysia di Sukan SEA 2023, Datuk Nasir Ali, turut bersuara tentang perkara ini dan mahu pengurangan kemasukan pemain naturalisasi dalam Sukan SEA pada temaysa yang akan datang.
Cadangan tersebut sebenarnya adalah langkah yang baik untuk memastikan tuan rumah atau mana-mana negara sekalipun mengambil kesempatan terhadap kelonggaran peraturan menggunakan pemain naturalisasi semata-mata untuk menjadi juara.
Sepatutnya, temasya sukan serantau seperti Sukan SEA menjadi platform untuk pemain-pemain muda menyerlahkan bakat mereka.
Tetapi dengan tiada syarat ketat mengenai penggunaan atlet naturalisasi oleh Persekutuan Sukan SEA, tidak banyak yang boleh dilakukan sebenarnya.
Mahu atau tidak, Malaysia sendiri harus meningkatkan daya saing bagi memastikan atlet negara tidak ketinggalan dengan lambakan atlet naturalisasi dari negara lain.
Perkara ini juga sama seperti yang berlaku dalam arena bola sepak tempatan apabila kini semakin ramai pemain-pemain yang dinaturalisasikan oleh pasukan masing-masing.
Justeru, mahu atau tidak, bakat tempatan harus meningkatkan lagi tahap mereka jika tidak mahu tempat mereka diambil oleh pemain naturalisasi.
Dengan penerimaan pemain import untuk bertanding dalam temasya ini, semua negara yang bertanding pada Sukan SEA akan datang perlu membuat penyediaan yang lebih untuk menangani pemain-pemain naturalisasi di apa-apa cara sukan yang ditandingkan dalam temasya.
Namun mungkin dengan gesaan yang dilakukan oleh CDM Malaysia itu, Persekutuan Sukan SEA boleh merujuk semula perkara ini dan mengetatkan peraturan mengenai penyertaan atlet naturalisasi pada temasya akan datang.
Ini juga sebenarnya penting bagi pembangunan sukan di rantau Asia Tenggara untuk mengejar kuasa-kuasa besar dunia dalam arena sukan.