Insiden pergaduhan cemari perlawanan Thailand-Indonesia, individu terlibat harus dikenakan tindakan tegas

737

Perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA 2023 yang berlangsung penuh dramatik semalam diselubungi dengan insiden keganasan melibatkan kedua-dua pasukan Thailand dan Indonesia.

Ia berlaku selepas provokasi yang dilakukan oleh beberapa pegawai kedua-dua pasukan ketika meraikan jaringan, menyebabkan beberapa pergaduhan berlaku di kawasan bangku simpanan.


Ia menyaksikan keseluruhan tujuh kad merah dilayangkan dalam perlawanan tersebut, kepada pemain dan juga pegawai, rekod baharu dalam kejohanan itu.

Antara yang menjadi mangsa akibat insiden itu adalah pengurus pasukan Indonesia iaitu Sumardji, mengalami kecederaan di bibir, selepas diserang oleh salah seorang jurulatih Thailand.

Beliau ketika itu mendakwa dirinya sedang cuba meleraikan pergaduhan yang berlaku tetapi tidak bernasib baik diserang ketika insiden itu.

Sumardji seorang individu yang amat dihormati di Indonesia bukan sahaja dalam arena bola sepak tetapi secara amnya kerana beliau memegang jawatan Komisaris Besar Polisi (Kombes) di Indonesia.

Dalam bola sepak juga, beliau mempunyai pengalaman yang luas di negara itu, pernah menjadi pengurus kelab Indonesia, Bhayangkara FC serta pengurus pasukan skuad kebangsaan B-22 Indonesia.

Insiden pergaduhan itu berlaku pada minit-minit akhir pemainan masa sebenar selepas Thailand mendapatkan gol penyamaan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Ia adalah balasan kepada sambutan yang dilakukan oleh pegawai pasukan Indonesia yang menyangka mereka telah memenangi perlawanan itu, sedangkan pengadil meniup untuk memberi sepakan percuma kepada Thailand pada minit-minit akhir masa kecederaan.

Keraian yang disambut dengan provokasi itu didakwa menjadi punca tercetusnya pergaduhan lain selepas itu.

Selepas Indonesia mendapatkan gol pendahuluan semula pada awal minit masa tambahan, berlaku insiden pergaduhan seterusnya yang menyebabkan Sumardji tercedera.

Apa yang berlaku ini jelas mencemarkan aksi perlawanan akhir yang rancak dan penuh dramatik, yang sepatutnya menjadi antara perlawanan akhir terbaik dalam sejarah acara bola sepak Sukan SEA.

Pihak berkuasa haruslah meneliti dan menyiasat insiden itu untuk mendenda mereka yang bertanggungjawab dalam melakukan provokasi dan terlibat dalam kekecohan itu.

Ia sebagai satu pengagajaran keras buat mereka yang terlibat serta pasukan-pasukan lain untuk tidak mencetuskan insiden seperti itu pada masa hadapan.

Sepatutnya, kejohanan sukan serantau seperti ini menjadi satu platform untuk merapatkan lagi hubungan anatara negara-negara bertanding, tetapi lain pula berlaku pada perlawanan tersebut.

Pegawai kedua-dua pasukan yang lebih berumur sepatutnya lebih matang dalam menangani insiden itu dengan menunjukkan contoh kepada para pemain, dan bukannya terlibat sama.