Laman sosial bola sepak Thailand diserang warga Indonesia, bekas pengurus Garuda pernah dedah perangai netizen negara itu
Selepas perlawanan akhir acara bola sepak lelaki Sukan SEA 2023 semalam, segelintir penyokong Indonesia bertindak menyerang laman sosial bola sepak Thailand akibat ketidakpuasan hati mereka terhadap insiden pergaduhan yang berlaku pada perlawanan tersebut.
Walaupun Indonesia berjaya meraih pingat emas acara itu buat kali pertama dalam 32 tahun, ia tidak cukup memadamkan api kemarahan dalam kalangan penyokong Indonesia kerana terdapat pegawai pasukan itu yang mengalami kecederaan akibat insiden berkenaan.
Antara yang menjadi sasaran adalah laman Twitter @ThaiFootballs yang diserang oleh netizen Indonesia, termasuklah yang mengeluarkan kata-kata kesat.
Terdahulu, bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, Simon McMenemy dalam satu temubual bersama Goal menyifatkan bahawa penyokong negara itu merupakan yang terbaik dan juga terburuk dalam bola sepak.
Katanya, sikap buruk mereka adalah berembunyi di belakang papan kekunci dan mengeluarkan apa-apa saja kenyataan tanpa sumbangan.
Mungkin inilah salah satu contoh sikap yang dimaksudkan oleh McMenemy mengenai sikap segelintir penyokong Indonesia itu.
Beliau juga mendedahkan bahawa terdapat pemain yang takut dibuli oleh para penyokong di media sosial, lebih-lebih lagi apabila melakukan kesilapan.
McMenemy mempunyai pengalaman beberapa tahun dalam bola sepak Indonesia, pernah melatih pasukan Pelita Bandung Raya pada tahun 2013, sebelum kembali ke negara itu untuk menjadi ketua jurulatih Bhayangkara pada 2017 hingga 2018, membawa mereka menjuarai Liga 1 pada 2017.
Selepas itu, beliau dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan, sebelum dipecat tidak sampai setahun dan digantikan dengan Shin Tae-yong.
Walaubagaimanapun, apa yang beliau katakan mengenai semangat penyokong Indonesia juga adalah benar, kerana terbukti bahawa penyokong Indonesia boleh dianggap sebagai penyokong yang paling bersemangat.
Apa yang baik boleh dijadikan teladan, manakala yang buruk haruslah dibuang sama sekali.