Bola sepak Hong Kong sedang bergolak, 23 individu ditahan terlibat dengan ‘match-fixing’

599

Bola sepak Hong Kong baru-baru ini dikejutkan dengan kontroversi skandal pengaturan perlawanan (match-fixing) yang telah dikesan oleh The Independent Commission Against Corruption (ICAC).

Operasi ini dianggap sebagai salah satu operasi yang terbesar yang pernah dilakukan oleh ICAC.


ICAC menjelaskan bahawa ketika dalam perlawanan pemain-pemain akan sengaja bermain dengan tidak baik, untuk mendapatkan keputusan yang ditetapkan oleh pihak tertentu dan memberi keuntungan kepada mereka.

Selain itu, para pemain juga berkomunikasi dengan melakukan pergerakan tertentu yang sudah dirancang, seperti membongkok dan membetulkan stokin mereka atau bermain-main dengan hoodie sweatshirt mereka sebagai satu isyarat untuk mengatur perlawanan.

23 orang termasuk 11 pemain dan seorang jurulatih ditahan untuk disiasat tentang aktiviti ini dan kebanyakan individu yang terlibat dengan sindiket ini didakwa bermain untuk pasukan Liga Hong Kong Divisyen 1, Happy Valley Athletic Association (HVAA).

HVAA adalah antara kelab tertua dalam sejarah bola sepak negara Hong Kong.

Kelab itu sekarang berada di kedudukan kelapan dalam Liga Hong Kong Divisyen 1, setelah bermain sebanyak 26 perlawanan dan mencatatkan lapan kemenangan, lima seri dan kalah sebanyak 13 kali.

Namun itu bukan kali pertama skandal pengaturan perlawanan yang terkait dengan kelab HVAA, pada tahun 2010, ICAC telah menahan empat individu dari kelab tersebut kerana disyaki terjebak dengan aktiviti rasuah dan pengaturan perlawanan.

Penjaring gol terbanyak pada musim itu, Yu Yang telah didapati bersalah dan dipenjarakan selama 10 bulan.

Pada tahun 2014 juga, terdapat tujuh individu dari barisan kejurulatihan dan pemain HVAA ditahan dalam bilik persalinan semasa mereka tewas kepada kelab Sun Hei dengan jaringan 5-0.

Pengerusi Persatuan Bola sepak Hong Kong, Pui Kwan-kay berkata bahawa skandal ini adalah sesuatu yang memalukan bola sepak tempatan, dan mereka mesti mempunyai kesedaran yang lebih baik dan membendung aktiviti tersebut dalam masa terdekat.

Pihaknya kini sedang merancang untuk memantau dengan lebih teliti aktiviti ini dalam semua perlawanan di liga Hong Kong dan memastikan mereka boleh mengurangkan dan membendung aktiviti pengaturan perlawanan daripada berleluaasa dalam liga bola sepak negara itu.