Stuart Wark cari kelab guna LinkedIn, mungkin boleh jadi platform baharu ‘cari kerja’ buat pemain masa kini

541

Seiring dengan kemajuan teknologi, LinkedIn kini merupakan salah satu laman sosial yang amat popular untuk mencari pekerjaan terutama dalam kalangan orang muda.

Namun, siapa sangka laman sosial itu kini turut menjadi platform buat pemain bola sepak untuk mendapatkan kelab.


Perkara itu dilakukan oleh pemain warisan Malaysia, Stuart Wark yang kini sedang giat mencari kelab baharu melalui LinkedIn selepas beliau bergelar agen bebas.

Menurut laman Transfermarkt, kontraknya bersama kelab Thailand, Kasetsart FC yang bermain di divisyen kedua negara itu akan tamat pada 1 Jun 2023.

Wark pernah bermain di Liga Malaysia kira-kira tujuh tahun, di mana antara kelab yang pernah disertainya adalah JDT II, Sabah FC, Felda United, Penang FC, PDRM FC, Terengganu FC dan yang terakhir adalah Sarawak United FC.

Namun, musim terakhirnya bermain di Malaysia pasti tidak mahu diingatinya kerana salah seorang pemain yang berdepan dengan masalah tunggakan gaji oleh pihak Sarawak United, yang sehingga kini dilaporkan tidak menjelaskan hutang tersebut.

Dalam profilnya, Wark berkongsi beberapa butiran kelab yang telah beliau pernah sertai dalam kerjayanya dan juga berkongsi pautan ke laman sesawangnya yang menceritakan tentang perjalanan kariernya sebagai pemain bola sepak secara keseluruhan.

Tetapi mencari kelab melalui LinkedIn bukanlah perkara baharu dalam kalangan pemain bola sepak, tetapi cara ini sebenarnya agak berbeza dan unik.

Biasanya pemain bola sepak akan meminta ejen mereka untuk menghubungi kelab lain dan memaklumkan statusnya sebagai ejen bebas yang menjadi norma dalam kalangan pemain bola sepak sehingga kini.

Mungkin ini boleh menjadi satu trend baharu yang boleh digunakan dalam kalangan pemain bola sepak pada masa akan datang.

Kerana ejen kadang-kadang boleh menjadi sangat manipulatif dan hanya memberi tumpuan untuk mendapatkan wang dan mengabaikan kesesuaian dan kesejahteraan pemain ketika mereka berunding dengan kelab lain.

Mungkin dengan cara ini boleh menolong pemain untuk berinteraksi dengan kelab yang berminat secara langsung.

Tetapi ia hanya sesuai dengan pemain yang merupakan ejen bebas dan pemain yang mempunyai pemahaman yang jelas tentang apa yang mereka mahu apabila mereka berunding dengan kelab lain.

Diharapkan Wark akan menjumpai kelab baharunya dalam masa terdekat dan berharap dengan penggunaan LinkedIn ini boleh membuka cara perundingan yang baru dalam jendela perpindahan bola sepak.