PDRM FC juara eMFL Liga Super 2023, bukan saja cipta kejutan di padang tetapi juga dalam saingan FIFA 23
Saingan eMFL Liga Super 2023 menamatkan tirainya semalam dengan pasukan PDRM FC berjaya meraih gelaran juara selepas menewaskan pasukan Negeri Sembilan FC II dalam perlawanan akhir.
PDRM yang diwakili oleh Putera, Alif Dani dan Syameer menang 4-1 pada saingan Grand Final dan 2-1 pada saingan Grand Final Reset.
Kemenangan itu menyaksikan PDRM akan menerima dua slot untuk bersaing di kejohanan FIFA Global Series Asia South Play-Ins yang akan berlangsung pada 27 hingga 28 Mei.
Dalam perjalanan ke perlawanan akhir, mereka berjaya menewaskan juara ePiala Malaysia musim lalu iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) di separuh akhir lower bracket dan Kedah Darul Aman pada perlawanan akhir lower bracket.
Kejayaan ini pastinya satu lagi kebanggaan buat PDRM yang pasukan bola sepaknya turut mempamerkan prestasi yang baik dalam saingan Liga Malaysia.
Musim ini, PDRM yang dianggap sebagai pasukan underdog berjaya melakukan beberapa kejutan termasuk menewaskan Kedah di gelanggang lawan.
Mereka juga menjadi pasukan yang paling sedikit dibolosi oleh juara bertahan, JDT yang hanya menang 1-0, berbanding pasukan lain yang kebanyakannya dibelasah teruk.
Walaupun pada mulanya ramai yang beranggapan PDRM bakal menjadi antara ‘lubuk mata’ pada musim ini, mereka membuktikan sebaliknya dan kini menduduki tangga kesepuluh Liga Super.
Malah, ada kelab yang berbelanja jauh lebih besar daripada mereka pada awal musim tetapi kini berada di kedudukan yang lebih bawah.
Ini menunjukkan apa yang dilakukan oleh pihak pengurusan kelab itu adalah betul walaupun mereka bukanlah kelab besar.
Bukan sahaja dalam saingan Liga Malaysia, tetapi juga dalam saingan eMFL mereka berjaya mencipta kejutan dan membuktikan bahawa mereka tidak boleh dipandang rendah.