FAM dan Kim Pan-gon sedang rangka persiapan rapi Harimau Malaya bagi menghadapi Piala Asia 2023

685

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu beliau dan ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon kini sedang merangka persiapan rapi buat skuad Harimau Malaya bagi menghadapi kejohanan Piala Asia 2023 nanti.

Menurut Hamidin, beliau dan pengendali dari Korea Selatan itu sedang mengatur banyak perlawanan persahabatan antarabangsa sepanjang tempoh enam bulan akan datang iaitu dari Jun hingga awal Januari 2024 bagi memastikan skuad negara berada pada tahap terbaik sebelum ke Doha, Qatar.


“Apa yang mustahak adalah persiapan kita, skuad negara akan menentang Soloman Islands dan Yemen pada bulan Jun ini, kemudian pada bulan September kita mungkin akan ke China dan ke sebuah negara lagi yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Kemudian skuad negara akan beraksi pada kejohanan Pestabola Merdeka menentang Palestine, India atau Lebanon.

Seterusnya kita ada kelayakan pada bulan November. Jadi saya rasa setiap sebulan dua bulan ada kejohanan ia adalah satu persiapan yang bagus,”

katanya.

Tambah Hamidin lagi, pihaknya kini juga sedang berusaha untuk mengatur satu perlawanan pada awal Januari 2024.

Antara pasukan yang berkemungkinan akan menjadi lawan skuad negara termasuk Australia, Oman, Arab Saudi, Oman atau UAE.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai undian Piala Asia 2023 yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan Malaysia diundi bersama Jordan, Bahrain dan Korea Selatan, Hamidin meletak sasaran untuk skuad negara cuba untuk membawa pulang mata.

“Sudah tentu harapan saya dan FAM kita nak sekurang-kurangnya nak bawa balik mata ke Malaysia kerana kita sudah lama tak layak ke pusingan akhir Piala Asia.

Kita juga perlu berhati-hati kerana pasukan ini adalah pasukan terbaik di Asia.”

Beliau bagaimanapun berkata sekiranya skuad negara berjaya layak ke pusingan 16 ia akan menjadi satu pencapaian yang cukup menakjubkan buat bola sepak tanah air kerana ia juga akan menaikkan FIFA ranking.

Piala Asia 2023 yang akan mengambil tempat di Doha, Qatar akan membuka tirainya bermula 12 Januari hingga 10 Februari 2024.