TMJ ‘ajar’ cara tingkatkan pembangunan akar umbi bola sepak negara, FAM boleh pertinbangkan cadangan tersebut
Selepas kegagalan Harimau Muda melayakkan diri ke peringkat separuh akhir dalam Sukan SEA 2023, ia telah memberikan pandangan yang serong terhadap projek pembangunan bola sepak akar umbi di negara ini.
Walaupun mempunyai pemain yang bermain di Liga Super dan nama-nama yang tidak kurang hebatnya, Malaysia tidak dapat mengulangi pencapaian musim lalu layak ke separuh akhir.
Situasi pembangunan akar umbi bola sepak negara agak membimbangkan kerana negara-negara jiran sudah membuahkan hasil dari projek pembangunan bolasepak mereka.
Malaysia perlu merujuk semula projek pembangunan bola sepak yang ada supaya kita tidak ketinggalan daripada negara-negara besar Asia tenggara yang lain.
Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) turut berkongsi idea apa yang boleh dilakukan oleh badan-badan bola sepak tempatan untuk membantu menghasilkan pemain muda yang lebih berkualiti.
JDT merupakan pasukan yang mempunyai struktur pembangunan bola sepak akar umbi yang terbaik di Malaysia.
Terdapat beberapa pemain berbakat yang telah datang dari akademi JDT seperti Arif Aiman, Feroz Baharuddin, Aysar Hadi, Ramadhan Saifullah dan banyak lagi.
Akademi JDT juga merupakan satu-satunya akademi milik kelab di negara ini yang dianugerahkan status Akademi Dua Bintang (Two-Star Academy) oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di bawah AFC Elite Youth Scheme.
Pandangan beliau mengenai pembangunan bola sepak akar umbi perlu dipertimbangkan oleh FAM dan organisasi bola sepak lain di Malaysia, seperti Majlis Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan dan juga persatuan bola sepak negeri supaya bola sepak Malaysia boleh maju ke hadapan.
TMJ menyarankan FAM untuk mewujudkan pertandingan yang lebih kompetitif untuk semua peringkat umur dan terutamanya untuk B-12 hingga B-17.
Dengan memperkenalkan lebih banyak lagi pertandingan yang kompetitif, ia akan memberi manfaat kepada perkembangan mereka dan menghasilkan pemain yang lebih berkualiti untuk pasukan kebangsaan, lebih-lebih lagi jika didedahkan pada peringkat muda.
Oleh kerana kurangnya pertandingan yang cukup bagus dan kompetitif, kebanyakan akademi bola sepak tempatan memutuskan untuk membuat kejohanan tidak rasmi.
Mereka turut cuba mencari kejohanan luar negara yang jauh lebih baik dalam membantu perkembangan pemain muda.
Selain itu, mereka harus menyediakan kemudahan yang berkualiti untuk jurulatih, supaya dapat membantu pemain muda berkembang dan bertambah baik sebagai pemain di masa depan.
Dengan FAM mempunyai kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Qatar baru-baru ini, mungkin boleh menggunakan kerjasama ini untuk meningkatkan pembangunan bola sepak negara.
FAM juga boleh menyediakan jurulatih dengan seminar di luar negara yang boleh membantu menjadi jurulatih lebih baik buat pemain muda.