Jika dapat 40 pingat emas dan gembira, adakah ia akan ubah kedudukan Malaysia di tangga ke-7? – Tan Sri Norza Zakaria
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria tidak melihat kegagalan kontinjen Malaysia di temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja untuk meraih 40 pingat emas sebagai berita buruk, sebaliknya ia adalah satu rahmat.
Ini kerana menurut Norza Zakaria, kedudukan negara tidak akan berubah walaupun kontinjen negara berjaya mencapai sasaran 40 pingat emas.
“Kalau pun kita dapat capai sasaran 40 pingat emas dan kita gembira, adakah ia akan mengubah kedudukan Malaysia di tempat ke-tujuh? Adakah kita negara yang buat perbandingan dengan seperti Singapura dengan hanya perbezaan 17 pingat emas atau kita negara yang mahu buat perbandingan dengan negara Vietnam yang berbeza 102 pingat emas.
Saya percaya apa yang berlaku adalah sebagai satu rahmat kerana semua pihak akan gembira jika kita dapat 40 emas sedangkan kita masih jauh ketinggalan dengan Vietnam, Thailand dan Indonesia.
Jadi ini adalah tanggungjawab kita semua. Saya ingin beritahu bahawa model sukan di negara kita ketika ini sudah lapuk dan perlu diubah. Ia adalah satu permulaan yang baik apabila YB Menteri memperkenalkan program Road To Gold (RTG) kerana ia melibatkan ramai pemegang taruh,”
katanya.
Beliau berkata demikian ketika siding media majlis Rangkuman Prestasi Kontinjen Malaysia Sukan SEA 2023 Kemboja yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN), sebentar tadi.
Norza Zakaria pada masa sama turut menegaskan bahawa kegagalan kontinjen negara kali ini bukan salah Menteri Kementerian Belia Dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh, sebaliknya ketidakstabilan politik yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Saya sudah tahu ia akan terjadi kerana kita sibuk tukar kerajaan. Kata nak buat ‘post-mortem’ tapi kita tak buat dan selalu anak tirikan sukan. Saya kesian YB Menteri kerana mereka tiba ketika kami berada di tahap terendah. Jadi saya bercakap untuk MOM ingin menegaskan bahawa ia bukan salah mereka.”
Pada edisi kali ini, kontinjen negara berjaya membawa pulang 34 pingat emas, 45 pingat perak dan 96 pingat gangsa untuk berada di kedudukan ketujuh dari 11 negara yang bertanding.
Dalam pada itu, beliau juga mahu fokus diberikan kepada dua sukan utama iaitu renang dan olaharaga kerana kedua-dua sukan itu hanya sekadar mampu menyumbang enam pingat emas daripada 87 pingat yang dipertandingkan.
“Saya sudah bercakap megnenai dua sukan ini sejak di temasya Sukan SEA di Filipina lagi kerana ia mewakili 87 pingat emas tetapi kita buat takt ahu sahaja sedangkan ia merupakan sukan kategori satu di Sukan Olimpik.”
Sementara itu, beliau juga berkata pemilihan atlet kini tidak boleh lagi bergantung kepada persatuan negeri sahaja, sebaliknya perlu mengambil kira atlet-atlet di kelab swasta untuk meluaskan talents pool.