Jangan ‘jauhkan diri’ dari Stadium Darul Aman, Kedah perlu sokongan peminat untuk kembali ke zaman kegemilangan
Kedah Darul Aman FC (KDA FC) adalah antara kelab terbesar dan bersejarah dalam Liga Malaysia, namun pada musim ini, mereka dalam proses membina semula pasukan selepas mengharungi musim yang suram.
Berikutan aksi yang tidak konsisten pasukan itu dalam saingan liga musim ini, terdapat penurunan bilangan peminat datang menghadiri perlawanan di Stadium Darul Aman.
Ia adalah satu situasi yang agak membimbangkan, kerana pasukan yang pada satu ketika dahulu tidak mempunyai masalah untuk menarik peminat ke stadium, kini seolah-olah sudah ‘dilupakan’ oleh peminat sendiri.
Adakah peminat Hijau Kuning sudah hilang semangat untuk menyokong dan hadir perlawanan di Stadium Darul Aman kerana persembahan yang tidak konsisten? Atau mereka mula berasa kurang yakin dengan proses pembinaan semula pasukan ini?
Mungkin sebilangan peminat Kedah yang terlalu gopoh untuk mengharapkan hasil daripada skuad baharu pada musim ini, terutama dengan kehadiran jurulatih yang berwibawa iaitu Nafuzi Zain, yang merupakan antara jurulatih terbaik di Malaysia pada musim lalu.
Mungkin sebilangan peminat mengharapkan impak segera daripada jurulatih itu, seperti yang dilakukan bersama Terengganu pada musim lalu.
Namun, mereka terlupa bahawa pada peringkat awal, Nafuzi sendiri memerlukan masa untuk membentuk pasukan yang kuat di Terengganu.
Musim ini, Kedah tidaklah terlalu teruk cuma ada kalanya kurang konisten dan bergelut untuk mempamerkan aksi yang baik.
Tetapi kejayaan tidak datang dengan segera, ia harus melalui satu proses yang memakan masa sebelum hasilnya dapat dilihat.
Ketika ini, pemilik Kedah, Tan Sri Dr Daud Bakar sedang berusaha untuk mengembalikan kembali zaman kegemilangan pasukan itu.
Walaubagaimapun, ia sukar untuk dicapai sekiranya tiada sokongan daripada para peminat.
Disebabkan itu penting buat para peminat menzahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan, termasuklah dengan menghadiri perlawanan di Stadium Darul Aman.