Kalau kita terpaksa letak treler depan gol menentang JDT nanti kita akan letak – Fandi Ahmad

1,844

Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad memberi bayangan bahawa pasukannya akan bertahan habis-habisan dalam perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) Rabu depan.

Jelasnya, pasukannya kini sedang pincang akibat masalah kecederaan yang dihadapi, terutama di bahagian tengah, menyebabkan ramai pemain utama tidak dapat turun beraksi.


“Kita kehilangan tiga pemain tengah ketika ini iaitu Azam Azih, Sergio Aguero dan Stefano Brundo, mudah-mudahan seorang atau dua daripada mereka dapat bermain menentang JDT nanti.

Sementara ini kami agak muram juga kerana jarang dapat kesebelasan utama yang terbaik, nak berkunjung ke JDT lagilah berat tetapi kalau kita terpaksa letak treler depan gol kita akan letak,”

katanya.

Tambahnya, pemain harus beraksi dengan mental yang kuat dan berwaspada terhadap kebolehan setiap pemain lawan serta tidak melakukan kesilapan.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas perlawanan Liga Super menentang Penang FC yang menyaksikan pasukannya menang 1-0 hasil jaringan penalti Kpah Sherman.

Fandi mengakui bahawa prestasi pasukannya kurang baik tetapi bersyukur dapat meneruskan rentak kemenangan dalam liga kepada liam perlawanan berturut-turut.

Beliau berkata, semangat juang yang ditunjukkan oleh pasukannya berjaya membantu mereka mencatatkan kemenangan walaupun Penang bermain dengan agak baik.

“Saya kurang berpuas hati dengan permainan kami hari ini tetapi kesungguhan dan kerjasama berpasukan amat bagus.

Walaupun Penang ada empat atau lima pemain yang tinggi, tetapi semangat juang kita lebih hebat daripada kebolehan pada hari ini.”

Dalam pada itu, Fandi berharap dapat membawa masuk beberapa pemain terutama di bahagian tengah dan serangan pada jendela pendaftaran pemain kedua kelak untuk memperkuatkan lagi pasukan.

Katanya, Sri Pahang ketika ini kekurangan squad depth di bangku simpanan yang boleh menggantikan pemain utama apabila diperlukan.