Saya tak terasa walaupun ramai selalu cari Dibo, jurulatih yang turunkan saya untuk main – Anatasha
Atlet e-sukan yang mewakili negara ke Sukan SEA dalam acara Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Anatasha tidak terasa hati dengan segelintir peminat yang sentiasa mencari rakan sepasukannya, Dibo setiap kali beliau beraksi.
Katanya, beliau sedar bahawa Dibo amat popular di sosial media seperti Instagram dan TikTok, jadi sudah tentu peminat akan ternanti-nantikan kemunculannya.
“Saya tak terasa kerana saya tahu Dibo popular di Instagram, TikTok semua… Tapi kalau jurulatih sendiri yang mahu mainkan saya, saya tak boleh nak kata apa.
Jurulatih sendiri yang beri kepercayaan kepada saya untuk main jadi saya kena bersikap profesional sajalah,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Kedua-dua Anatasha dan Dibo bermain di role yang sama iaitu sebagai ‘jungler’.
Beliau berkata, pada mulanya, ibu bapanya tidak menyokong dirinya untuk membina karier dalam bidang e-sukan tetapi apabila melihat beliau berjaya mewakili negara hingga ke Sukan SEA, mereka mula membuka mata.
“Mula-mula ibu bapa saya tak suka sangat kerana dulu apabila saya menang kejohanan saya akan menjerit sampai dengar satu rumah dan mereka akan tegur saya.
Bila saya dah sampai ke tahap Sukan SEA mereka mula nampak bahawa ia boleh sampai ke tahap tersebut.”
Dalam pada itu, beliau mengakui tidak bersetuju dengan keputusan pihak penganjur Sukan SEA yang memberikan pingat gangsa kepada pasukan Vietnam yang tewas kepada mereka pada penentuan tempat ketiga dan keempat.
“Memang saya tak setuju kerana kami dah bermain bersungguh-sungguh untuk dapatkan pingat gangsa, apabila dapat tahu Vietnam dappat gangsa juga memang rasa peliklah.
Tapi nak buat macam mana kerana penganjur sendiri yang putuskan macam tu, mereka bagitahu pun selepas perlawanan itu.”
Pada Sukan SEA lalu, pasukan MLBB wanita negara yang diwakili Anatasha, Fafau, Dibo, Bunnie, Hannie, Aria dan Rosemary berjaya menyumbang pingat gangsa.