Saya pernah marah Anatasha sampai dia menangis sebab main Mobile Legends – Norman Kamaruddin

192

Bapa kepada Atlet e-sukan yang mewakili negara ke Sukan SEA dalam acara Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Anatasha iaitu Norman Kamaruddin mengakui beliau pernah memarahi anaknya itu satu ketika dahulu disebabkan permainan tersebut.

Katanya, beliau pada mulanya tidak tahu mengenai permainan MLBB, dan ada satu masa Anatasha bermain permainan video itu dan menjerit terlalu bising menyebabkan beliau memarahinya.


“Pada awalnya saya tak tahu mengenai e-sukan ini kerana zaman saya tiada, saya anggap ia sebagai permainan biasa sajalah. Ada satu hari tu Anatasha main sampai tak keluar bilik dan menjerit, saya terus ke biliknya dan memarahinya.

Dia terus menangis dan saya terfikir kenapa saya marahnya, kemudian esoknya saya meminta maaf kepadanya kerana saya tak tahu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya, beliau terkejut apabila mendapat tahu Anatasha berjaya terpilih untuk mewakili Malaysia ke Sukan SEA baru-baru ini.

Jelasnya, berita itu membuatkan isteri dan anak lelakinya menitiskan air mata kerana tidak sangka Anatasha bermain sehingga ke tahap itu.

“Ada satu hari tu dia ketuk pintu dan kata bahawa dia terpilih untuk mewakili Malaysia pada Sukan SEA.

Saya dan ibu dan abangnya terkejut dan mereka berdua menangis, kami tak sangka bahawa beliau berjaya ke tahap itu.”

Beliau berkata, selepas Anatasha terpilih mewakili Malaysia, beliau menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada anaknya itu dan sering menghantarnya ke sana sini untuk menjalani latihan.

Beliau berharap Anatasha dapat komited dan bersungguh-sungguh dalam bidang yang diminatinya itu untuk lebih berjaya.