Jatuh bangun karier, Wan Zack Haikal tak pernah lupa Ong Kim Swee yang banyak berjasa kepada dirinya
Selepas tamat perlawanan Liga Super antara Sabah FC dan Perak FC Selasa lalu, pemain sayap kanan Perak, Wan Zack Haikal Wan Noor sempat bertemu dengan bekas ‘sifu’ beliau yang kini melatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee
Walaupun ‘bermusuh’ seketika di atas padang , hubungan yang baik antara guru dan murid itu tidak dapat dihalang apabila di luar.
Ong Kim Swee boleh dianggap sebagai antara jurulatih yang banyak berjasa kepada karier Wan Zack dan menjadi individu yang membentuk dirinya sebagai seorang pemain.
Beliau merakamkan penghargaan yang tinggi buat bekas jurulatihnya itu dengan sekeping gambar di laman Instagram dengan ucapan yang penuh bermakna.
Menurut laman Transfermarkt, Wan Zack pernah melakukan 23 penampilan di bawah Kim Swee, kebanyakannya dicatat ketika kedua-duanya berada dalam pasukan Harimau Muda A satu ketika dahulu.
Pada waktu awal permulaan kariernya, Wan Zack adalah antara pemain yang menjadi kegemaran Ong Kim Swee sehinggalah nama beliau naik dan dikenali dalam arena bola sepak tempatan.
Antara kejayaan manis duo itu adalah memenangi kejuaraan Liga Perdana pada tahun 2009 serta Pestabola Merdeka pada tahun 2013.
Masih lagi sebagai pemain profesional, segala yang dicurahkan kepadanya menjadikan beliau sekarang kekal bermain sebagai ketua pasukan untuk Perak.
Semasa berada dalam skuad Harimau Muda dan skuad Kebangsaan di bawah kendalian Ong Kim Swee, Wan Zack berhijrah ke Felda United FC pada tahun 2008. Kejayaan manis beliau memenangi Liga Perdana bersama The Fighters selepas itu dipinjamkan ke kelab Slovakia, ViOn Zlate Moravce pada 2011 selama tiga bulan.
Wan Zack juga pernah mewakili beberapa kelab lain seperti FC Ryukyu (Jepun) dan Kelantan FC.
Pernah melalui fasa kesukaran serta berliku sebagai seorang pemain, beliau tidak lari dari ujian seperti mengalami kecederaan yang serius di Selangor FC dan isu gaji di sewaktu di Perak FC.
Walaupun tidak lagi berada dalam pasukan yang sama, beliau sentiasa menghormati dan menghargai jasa Ong Kim Swee.
Ini adalah pengajaran baik yang ditunjukkan bahawa sejauh mana pun kita berada, haruslah sentiasa menghargai orang yang pernah berjasa dalam hidup kita.