Tak mustahil Malaysia mampu jadi juara kumpulan, tetapi harus berwaspada dengan Bangladesh dan Filipina – Raja Isa
Jurulatih kelab Bangladesh, Muktijoddha Sangsad yang berasal dari Malaysia iaitu Raja Isa Raja Akram menganggap Malaysia mempunyai peluang yang sama rata seperti Bangladesh, Thailand dan Filipina dalam kelayakan Piala Asia B-23 2024 pada September ini.
Beliau berkata, sebagai rakyat Malaysia sudah tentu dirinya mahu skuad B-23 negara akan layak ke pusingan akhir kejohanan itu yang akan berlangsung di Qatar tahun depan.
Menurutnya, pasukan Bangladesh adalah satu pasukan yang mahu membangun, justeru ada potensi sekiranya jurulatih negara itu berani melakukan tekanan tinggi.
Jelasnya, jika pemain Bangladesh berani menekan pihak lawan seperti apa yang dilakukan Indonesia, mereka boleh menjadi ‘pengacau’ kepada Thailand dan Malaysia.
Sementara itu, beliau juga turut mengulas prestasi pemain muda negara selepas kejohanan Sukan SEA lalu yang menyaksikan Malaysia tersingkir pada peringkat kumpulan.
“Jurulatih Elavarasan bukan tidak bagus ataupun pengurusan tidak bagus. Tetapi kita kena rasional, rasionalnya kena adil, mereka memang tetap kena bertanggungjawab.
Pada Sukan SEA tersebut, semua pemain yang dipanggil itu memang bagus tetapi mungkin pada waktu itu ada beberapa pemain yang tidak dilepaskan dari kelab.”
katanya kepada Harimau Malaya
Tambahnya, Malaysia memerlukan pemain tengah defensif, pemain yang mempunyai ketangkasan yang boleh bermain secara high pressing dengan baik.
Katanya, Malaysia mempunyai peluang, tetapi perlu melakukan pemilihan pemain yang tepat dan sesuai dengan sistem yang mahu dimainkan.
Beliau percaya Malaysia boleh menewaskan Thailand, dan menjadi juara kumpulan pada kelayakan itu nanti
“Malaysia boleh kalahkan Thailand, tidak mustahil Malaysia boleh menjadi juara kumpulan tetapi harus berhati-hati kerana Filipina dan Bangladesh adalah pasukan yang tidak dijangka.”
Beliau meramal bahawa Malaysia dan Thailand mampu menjadi dua pasukan yang layak ke pusingan seterusnya pada kelayakan itu nanti.