Selangor FC masih perlukan khidmat Mickey, beliau adalah tunjang pasukan – Tan Cheng Hoe

87

Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe menegaskan bahawa Selangor masih memerlukan khidmat pemain sayap, Faisal Halim yang hangat dikaitkan dengan perpindahan ke liga Korea Selatan.

Jelasnya, Faisal yang lebih dikenali sebagai Mickey adalah seorang pemain yang amat penting buat Selangor dan beliau yakin pemain itu masih boleh memberi banyak sumbangan untuk pasukan.


“Untuk Mickey, pasukan masih memerlukan khidmatnya dan kita yakin beliau boleh memberi sumbangan yang besar untuk pasukan, beliau merupakan tunjang untuk kita.

Apa yang penting buat masa ini adalah kita perlu berikan sokongan kepadanya untuk bersama pasukan Selangor,”

katanya.

Mengenai perlawanan suku akhir Piala FA menentang Negeri Sembilan esok, Cheng Hoe berharap anak-anak buahnya dapat menamatkan perlawanan dalam masa 90 minit.

Beliau mengakui bertandang ke Stadium Paroi bukanlah satu tugas yang mudah, dan beliau yakin ketua jurulatih Negeri Sembilan, K Devan mempunyai strategi yang baik untuk menyekat Selangor.

Tambah Cheong Hoe, Selangor bakal beraksi tanpa ketua pasukan, Brendan Gan yang masih lagi tidak pulih sepenuhnya.

“Untuk pasukan Negeri Sembilan, kita lihat mereka memang tidak ramai pemain import tetapi K Devan dapat mencorakkan gaya permainan yang baik terutama di bahagian pertahanan mereka, jadi ia bakal menjadi satu perlawanan yang sukar buat kami.

Brendan Gan semalam hanya menjalani rehabilitasi, dan menurut pasukan perubatan beliau mungkin tidak bersedia lagi.”

Dalam pada itu, Cheng Hoe menyifatkan pemecatan rakannya, Datuk Lim Teong Kim sebagai ketua jurulatih Perak FC semalam adalah satu berita yang kurang positif.

Beliau menganggap Teong Kim sebagai seorang jurulatih yang berpengalaman dan mengucapkan selamat maju jaya buatnya.