Usah layan pelawaan Taiwan untuk ‘friendly’, lebih baik cari pasukan yang lebih baik
Menurut laporan media, Persatuan Bola Sepak Taiwan telah menghantar jemputan untuk mengadakan perlawanan persahabatan ketika FIFA Day pada September ini.
Seperti yang diperkatakan oleh presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini, Malaysia akan terbang ke luar negara untuk perlawanan persahabatan September ini.
Namun, pelawaan Taiwan itu dilihat tidak perlu dipertimbangkan atas faktor yang kukuh.
Bukan mahu memperkecilkan kemampuan Taiwan, namun ketika itu ada kira-kira tiga bulan saja lagi sebelum berlangsungnya Piala Asia 2023.
Malaysia perlu cari lawan yang ranking lebih tinggi untuk mempersiapkan diri menentang pasukan-pasukan yang mempunyai ranking lebih tinggi dari Malaysia.
Malaysia kini berada di ranking 138 dunia, manakaka Taiwan pula berada di ranking 156.
Pada Piala Asia 2023 pula, Malaysia diundi bersama Korea Selatan yang berada di ranking ke-27, Jordan (84) dan Bahrain (85).
Malaysia seharusnya mencari lawan yang berada di ranking berdekatan dengan pasukan-pasukan tersebut sebagai satu ujian.
Justeru adalah lebih baik FAM menolak jemputan Taiwan dan mencari pasukan lain yang jauh lebih baik untuk mengadakan perlawanan persahabatan.
Buat masa ini FAM belum mengumumkan sebarang perancangan perlawanan antarabangsa untuk bulan September ini.
Tetapi bagi setiap lawan yang akan ditentang, keputusan terletak di tangan Kim Pan-gon bagi memastikan lawan yang dipilih nanti bersesuaian dengan apa yang dimahukan untuk skuad kebangsaan.