Stadium Gelora Bung Karno dapat pujian pengurus Argentina, bayangan Messi akan turun menentang Indonesia
Pengurus pasukan Argentina, Daniel Cabrera memuji setinggi langit Stadium Utama Gelora Bung Karno (SUGBK) yang akan menjadi venue pertandingan juara dunia itu melawan pasukan Indonesia pada 19 Jun ini.
Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir memberitahu perkara itu dengan mengatakan bahawa Cabrera menyifatkan stadium tersebut sebagai ‘perfecto’ atau sempurna.
Ini adalah satu pujian yang amat besar apabila diberikan oleh seorang pengurus daripada pasukan yang menjuarai Piala Dunia, membuktikan bahawa kualiti yang ada pada Stadium GBK bukanlah biasa.
Pada tahun 2013, Messi bersama Barcelona pernah mengunjungi Malaysia, tetapi malangnya beliau tidak bermain melawan Malaysia kerana keadaan padang Stadium Shah Alam ketika itu agak kurang baik.
Dengan pujian yang diberi oleh pengurus Argentina ini, berkemungkinan besar penonton akan dapat melihat aksi Messi bermain di Stadium GBK.
Perlawanan antara Argentina dan Indonesia nanti pastinya menjadi tumpuan peminat bola sepak dunia, terutama Asia Tenggara yang dijangka tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan barisan bintang.
Erick Thohir juga berkata bahawa ia adalah sebahagian daripada cara untuk memperkuatkan lagi skuad Indonesia dengan melawan pasukan-pasukan gergasi, dan beliau akan cuba mengatur lebih banyak perlawanan yang berkualiti.
Mungkin selepas ini lebih banyak lagi pasukan besar akan berkunjung ke Indonesia untuk perlawanan persahabatan antarabangsa.