Kami tak akan beri peluang pada pasukan Kelantan FC esok – Sony Norde

208

Pemain sensasi Terengganu FC, Sony Norde berkata beliau dan rakan sepasukan tidak akan memberi sebarang ruang dan peluang kepada pasukan lawan Kelantan FC dalam perlawanan suku akhir Piala FA esok.

Menurut Sony, beliau menyedari dengan situasi semasa pasukan lawan, namun beliau enggan ambil mudah dan akan terus beri aksi terbaik untuk memperoleh kemenangan.


“Kami sangat bermotivasi selepas kemenangan menentang Penang FC baru-baru ini dan kini kami sudah bersedia untuk bertemu dengan Kelantan.

Kami perlu ambil serius dengan perlawanan esok walaupun kita tahu situasi semasa mereka ketika ini dan tidak akan beri peluang pada mereka langsung. Kami bermain di tempat sendiri, jadi kami mahukan kemenangan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sony kini berada pada prestasi terbaiknya apabila dua jaringannya pada perlawanan Liga Super baru-baru ini berjaya menghalang Sabah FC dari bawa pulang tiga mata penuh.

Dalam pada itu, penyerang berusia 33 tahun itu tidak pernah kisah menjadi wira pasukan dengan jaringannya kerana apa yang penting baginya adalah dapat bantu pasukan menang walaupun sesiapa sahaja yang jaringkan gol.

Menyedari pasukannya menjadi pilihan untuk menang esok, tapi Sony enggan terlalu selesa sebaliknya menuntut rakan sepasukannya lebih berdisiplin dan mempamerkan permainan terbaik mereka.

“Kami tidak boleh ambil mudah dengan perlawanan esok dan perlu lebih berdisiplin serta manfaat peluang yang ada kerana kita tahu Kelantan boleh lakukan kejutan. Tapi kami kini sangat fokus dan mahukan kemenangan esok.”

Terengganu akan melayan kunjungan Kelantan pada perlawanan suku akhir Piala FA yang akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.