Terengganu sudah mempunyai sistem pembangunan bola sepak tersendiri

1,030

Baru-baru ini bola sepak tanah air kecoh dengan sebuah video tular yang memperlihatkan kehebatan seorang remaja iaitu Aqil Shamsul bermain bola sepak dengan orang dewasa dan lebih besar daripadanya.

Video tersebut bukan sahaja mendapat perhatian peminat bola sepak sahaja tetapi juga kelab bola sepak apabila kelab gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT) menandatangani pemain dari Terengganu itu untuk menyertai Akademi Bola Sepak JDT.


Pelbagai reaksi daripada peminat mengenai perkara itu dan ada segelintir peminat Terengganu FC (TFC) mendakwa kelab tersebut gagal mengenal pasti bakat pemain tempatan sehingga mereka terlepas pemain berpotensi.

Ada juga pihak yang mendakwa tiada program pembangunan akar umbi yang bagus menyebabkan Aqil memilih Harimau Selatan untuk melebarkan karier bola sepaknya.

Perkara itu bagaimanapun dinafikan oleh Ketua Jurulatih Remaja Negeri Terengganu, Muhammad Fuad Mamat yang memberitahu bahawa Terengganu mempunyai sistem pembangunan bola sepak mereka tersendiri.

Menurut Muhammad Fuad, kurangnya pendedahan mengenai kewujudan sistem program pembangunan akar umbi di negeri itu membuatkan ramai yang tidak tahu mengenai perkara sebenar.

“Kita sebenarnya sudah ada sistem pembangunan dan kita jalankan apa yang sudah dirancang. Mungkin benda ini ramai yang tidak tahu.

Untuk pembangunan di Terengganu ini kita mempunyai kerjasama dengan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) sudah lama, jadi banyak program bersama yang kita sudah jalankan di negeri Terengganu bermula dari umur tujuh tahun,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Mengambil contoh Aqil, beliau berkata pemain remaja itu bermain di Akademi Tunas Kuala Terengganu (program di bawah NFDP) dari usia tujuh tahun hingga 13 tahun.

Aqil kemudian telah dimasukkan ke program khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri iaitu sebuah program MSNT dengan kerjasama NFDP dan TFC ketika berusia 13 hingga 14 tahun.

Jelas Muhammad Fuad, program di SMK Ibrahim Fikri adalah untuk pasukan elit, manakala satu lagi pasukan adalah di Sekolah Sukan Negeri Terengganu (SSNT).

Dalam pada itu, beliau berkata untuk memastikan pemain-pemain program pembangunan di negeri itu mendapat minit permainan yang banyak, lebih banyak kejohanan akan dianjurkan.

“Selain liga sedia ada di NFDP, insyaAllah bulan Julai ini Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu akan menganjurkan Terengganu Football League untuk B-12 dan B-17 untuk seluruh negeri.”