Aqil adalah seorang pemain bijak dan matang dalam bola sepak – Syed Azla

328

Beberapa minggu lalu, pemain remaja dari Terengganu iaitu Aqil Shamsul menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan apabila video aksi hebatnya bermain bola sepak bersama orang dewasa tular di media sosial.

Kehebatan pemain remaja itu telah mendapat perhatian kelab gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT) yang tidak menunggu lama untuk menandatangani kontrak bersama pemain itu untuk menyertai Akademi Bola Sepak JDT.


Bagi yang tidak mengenali latar belakang Aqil, beliau sebenarnya merupakan bekas pemain di Akademi Tunas Kuala Terengganu sebelum diserap ke program Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri (SMK Ibrahim Fikri) iaitu program elit yang bekerjasama dengan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Terengganu FC (TFC).

Syed Azla Syed Muhamad adalah individu yang penting dalam karier bola sepak Aqil kerana beliau merupakan ketua jurulatih untuk pasukan B-13 SMK Ibrahim Fikri.

Menurut Syed Azla, sepanjang melatih Aqil beliau dapat melihat potensi yang cukup besar dalam pemain itu.

“Selama saya melatih Aqil, beliau seorang ‘orang’ bola sepak yang mana cara beliau fikir juga seperti seorang pemain bola sepak walaupun ketika itu baru berusia 13 tahun.

Biarpun masih muda dan mempunyai saiz fizikal yang kecil, tapi dari segi pemikiran bola sepak beliau tampak lebih matang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Syed Azla berkata dalam program elit di SMK Ibrahim Fikri mereka mempunyai dua objektif iaitu performance dan untuk masa akan datang (jangka masa panjang).

Berdasarkan penelitian dan penilaian beliau terhadap Aqil, pemain itu dilihat mempunyai potensi yang cukup besar untuk menjadi seorang pemain berkualiti.

“Aqil ni walaupun beliau kecil tapi kita nampak beliau boleh pergi jauh dalam bola sepak kerana beliau mempunyai teknik dan kawalan bola yang sangat bagus.”

Beliau turut berasa cukup bangga dengan pencapaian anak didiknya itu berjaya ke Akademi JDT dan berharap dapat manfaatkan peluang berlatih di sana dan yakin satu hari nanti pemain itu mampu menyarung jersi pasukan kebangsaan.