Tidak salah untuk meminati atlet, tetapi janganlah terlalu taksub sehingga langgar undang-undang

707

Seorang wartawan sukan dari Utusan Malaysia dilaporkan telah membuat laporan polis atas tindakan segelintir peminat pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang menghantar mesej berbuar ugutan dan menyebarkan maklumat peribadinya.

Ini berlaku selepas berita mengenai pemain perseorangan negara yang disiarkan di portal berita itu menyebabkan ada sesetengah dari kalangan peminat kurang senang dengan tajuknya yang berbunyi ‘Zii Jia beri alasan tidak sihat sebagai punca kekalahan’.


Lebih teruk lagi, kecaman demi kecaman serta reaksi tidak puas mereka boleh dikatakan agak keterlaluan dilakukan terhadapnya di laman sosialnya.

Pada masa kini, peminat sudah menganggap altet seperti idola mereka. Disebabkan itu, akan ada sebilangan daripada peminat berkelakuan ekstrem dan fanatik.  

Ada yang terlalu ekstrem dalam mempertahankan atlet kesayangan mereka sehinggakan sanggup membuat sesuatu yang melanggar undang-undang seperti mengugut.

Peminat harus tahu bahawa sikap tersebut adalah tidak wajar. Sekiranya tidak suka atau tidak bersetuju dengan berita yang diterbitkan, ini tidak bermakna mereka boleh membalasnya dengan cara yang memudaratkan orang lain.

Sebelum ini pengulas sukan, Hafizal Hamad turut menerima mesej berbaur ugutan kerana ada menyentuh berkenaan kemerosotan Zee Jia semasa mengulas.

Berpada-padalah dalam menyokong atlet dengan cara yang betul, dan sekiranya tidak berpuas hati dengan media atau kritikan yang diberi, bersuaralah dengan menggunakan saluran yang betul.

Memang tidak salah untuk kita meminati sesuatu, tetapi janganlah sampai dikaburi perasaan minat itu. 

Sebelum ini, legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei pernah bersuara bahawa atlet pada zaman ini terlalu sibuk dengan media sosial.

Mungkin disebabkan itulah peminat lebih dekat dengan seorang atlet dan melayan mereka seperti seorang selebriti. 

Chong Wei juga ada memberi nasihat supaya atlet mengurangkan penggunaan media sosial yang disifatkan mampu mengganggu mental pemain itu sendiri.