Yaman dilaporkan batal aksi persabahatan pada 20 Jun ini, apa ‘pelan kecemasan’ FAM?
Hari ini, kecoh dalam kalangan peminat bola sepak tempatan mengenai perlawanan persahabatan antarabangsa antara Malaysia dan Yaman yang sepatutnya dilangsungkan pada 20 Jun ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin ditangguhkan.
Bagaimanapun, ramai yang tertanya-tanya sumber laporan itu kerana masih tiada apa-apa pengumuman daripada pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Tetapi daripada satu hantaran yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Yaman di Facebook, perlawanan itu dibatalkan kerana pasukan negara itu akan menyertai Kejohanan Bola Sepak Asia Barat (WAFF) yang akan berlangsung di Iraq.
Menurut hantaran itu, “ia bercanggah dengan penyertaan pasukan Olimpik Yaman dalam Kejohanan Bola Sepak Asia Barat di Iraq dalam tempoh yang sama.”
Perlawanan antara Malaysia dan Yaman dikatakan akan tetap diadakan cuma akan dianjak kepada bulan Oktober.
Memandangkan jadual perlawanan persahabatan antarabangsa FIFA akan berlangsung tidak sampai sebulan saja lagi, ia pastinya satu tamparan buat skuad negara untuk mendapatkan lawan yang sama kuat dengan Yaman kerana kebanyakan negara sudah menyusun jadual mereka.
Untuk ini, FAM mungkin perlu melakukan ‘pelan kecemasan’ dengan menjemput mana-mana negara jiran atau negara lain yang masih tidak mempunyai perancangan ketika tarikh tersebut.
Sekiranya ia dibiarkan berlalu tanpa sebarang aksi persahabatan, ia dianggap satu kerugian buat Harimau Malaya kerana tidak berpeluang mengutip mata dan menguji skuad.
Kurang setahun lagi Piala Asia 2023 bakal membuka tirai, Kim Pan-gon perlu memanfaatkan setiap ‘FIFA Window’ yang ada untuk membuat persediaan.
Jika tiada pasukan yang sama tahap atau lebih baik daripada Yaman yang mahu menjalani aksi persahabtan, tiada pilihan lain selain daripada menjemput pasukan di ranking lebih bawah untuk menggantikan mereka, asalkan satu slot pada kalendar FIFA kali ini tidak dibazirkan begitu saja.