Prestasi tidak cukup bagus, Chonburi FC tak teragak-agak ‘singkirkan’ Faiq Bolkiah, pemain paling kaya di dunia
Pemain yang paling kaya di dunia tidak mempunyai apa-apa keistimewaan jika tidak mencapai kehendak serta jangkaan yang diletakkan oleh kelab. Tidak ada pemain yang lebih besar daripada kelab.
Begitulah pendekatan yang diambil oleh kelab Chonburi FC dari Liga Thailand yang melepaskan pemain yang berasal dari Brunei, Faiq Bolkiah.
Ia dilihat satu tindakan yang amat profesional dan wajar oleh kelab itu yang menamatkan kontrak beberapa pemain tanpa mengira apa apa kelebihan kekayaan yang dimiliki oleh pemain tersebut.
Dengan 17 kali penampilan bersama kelab, beliau hanya melakukan dua jaringan dalam liga dan sebagai seorang pemain sayap, sumbangan bekas pemain Leicester City itu belum cukup memuaskan hati majikannya.
Selepas Chonburi melepaskannya, beliau kini merupakan ejen bebas dan boleh menandatangani kontrak dengan kelab lain.
Mungkinkah terdapat kelab dari Malaysia yang berminat untuk mendapatkan khidmat beliau?
Dari segi pemasaran, namanya memang mempunyai nilai komersil yang tinggi, lebih-lebih lagi beliau merupakan seorang putera raja.
Beliau juga baru berusia 25 tahun, dan sekiranya di bawah bimbingan yang betul, mungkin boleh beraksi dengan cemerlang.
Pengalamannya menuntut ilmu di beberapa akademi kelab ternama England iaitu Southampton, Chelsea dan Leicester City juga berharga dan mungkin sesuai buat beberapa kelab.
Sebagai pemain bola sepak paling kaya di dunia, beliau bukanlah calang-calang pemain dengan nilai kekayaan yang dimilikinya adalah bernilai AS$20 bilion (RM80 bilion).