Selepas kegagalan Sukan SEA, E Elavarasan punya peluang sekali lagi pada pentas Piala AFF B-23 tebus maruah negara

185

Setelah melalui kempen mengecewakan pada Sukan SEA baru-baru ini, skuad bola sepak B-23 kebangsaan mempunyai peluang untuk menebus kekecewaan itu apabila akan menghadapi saingan Piala AFF B-23 Ogos ini.

Berdasarkan undian yang dijalankan pada Isnin lalu, Malaysia diletakkan dalam kumpulan B bersama-sama Timor Leste dan juga Indonesia.


Tiga juara kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan seterusnya, manakala satu pasukan tangga kedua terbaik akan mengisi satu lagi slot di separuh akhir.

Untuk menghadapi kejohanan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan berusaha untuk mendapatkan khidmat dua pemain yang sedang beraksi di Eropah, Luqman Hakim Shamsudin dan Nooa Laine, bagi memperkuatkan skuad kendalian E Elavarasan itu.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan bahawa Elavarasan perlu memastikan Malaysia mara lebih jauh sehingga ke perlawanan separuh akhir atau akhir pada kejohanan itu.

Sudah tentu beliau yang mengakui kecewa dengan prestasi skuad negara pada Sukan SEA tempoh hari mahu melihat ia tidak berulang lagi pada kali ini.

Namun, Elavarasan berdepan tugas sukar kerana bakal berdepan juara Sukan SEA iaitu Indonesia di peringkat kumpulan.

Dengan slot untuk ke peringkat separuh akhir begitu terhad, kejohanan ini ibarat misi hidup mati buatnya bersama skuad B-23 negara.

Sebelum ini, Hamidin berkata akan menunggu laporan penuh daripada Elavarasan dan barisan teknikal mengenai prestasi pasukan sepanjang temasya sebelum tindakan selanjutnya dapat diambil.

Jadi dapat disimpulkan bahawa Elavarasan kini masih lagi diberi kepercayaan untuk mengendalikan skuad B-23 negara.

Tetapi, sekiranya skuad itu gagal untuk mencapai jangkaan yang disebut oleh Hamidin itu pada Piala AFF B-23, mungkin kedudukannya dalam bahaya.

Selepas kejohanan Piala AFF B-23, cabaran seterusnya skuad B-23 negara adalah kelayakan Piala Asia B-23 yang akan berlangsung pada September.