Syazwan Zainon yakin Fadzrul Danel mampu jadi kapten
Selepas kapten pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berhijrah ke Sabah FC, kini ramai yang tertanya-tanya siapakah yang akan memakai lilitan kapten untuk musim 2022.
Beberapa nama pemain senior menjadi sebutan peminat bakal menggalas tanggungjawab sebagai kapten antaranya Syazwan Zainon, Azamuddin Akil, Ariff Farhan dan Sharil Saari.
Pemain sayap kiri Syazwan Zainon yang ditanya mengenai perkara itu memberitahu beliau tidak tahu mengenai siapakah yang akan menjadi kapten baru Kedah, tetapi berkata pemain yang dipilih untuk menggalas tanggungjawab itu perlu bersiap sedia memikul tugas berat.
“Saya sendiri belum tahu siapa yang bakal jadi kapten baru Kedah. Terpulang kepada coach dan pihak pengurusan. Saya tak kisah siapa-siapa pun jadi kapten tetapi siapa yang dilantik perlu bersedia untuk pikul tanggungjawab besar selepas ketiadaan Baddrol.
Kita tengok sekarang ni dalam pasukan Kedah banyak pemain yang boleh jadi kapten tetapi jika kita mahu jadikan pemain muda sebagai kapten saya rasa Fadzrul Danel antara pemain muda yang layak menggalas tanggungjawab itu,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Syazwan atau lebih mesra dengan panggilan Wan Karpet berkata dengan usianya yang kini mencecah 33 tahun, beliau yakin pemain-pemain muda Kedah mampu jadi pemimpin di dalam dan di luar padang.
“Saya pun tak tahu berapa lama lagi saya boleh main di Kedah dengan umur seperti ini, tetapi kalau pemain muda mereka ada jangka masa yang panjang, oleh itu saya sangat bersetuju jika lilitan kapten ini diberikan kepada pemain muda.”
Dalam pada itu, bercerita mengenai persaipannya bersama rakan sepasukan lain untuk mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini, Syazwan akui latihan kali ini agak ‘keras’ kerana jurulatih mahu menerapkan corak permainan yang berintensiti tinggi pada musim ini.
Tambahnya lagi, selain saingan di Liga Malaysia seperti Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia, Kedah turut bakal bersaing di Piala AFC musim ini.
Walaupun pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak musim ini dibarisi lebih separuh pemain baru, namun mereka tidak mengambil masa lama untuk mencari keserasian.
“Bagi saya, keserasian antara pemain bukan hanya dicipta ketika di padang sahaja, tetapi juga di luar padang. Seperti Kedah, setiap kali habis latihan pagi kami akan bersama-sama ‘lepak’ minum bagi merapatkan silaturahim sesama pemain tidak kira pemain tempatan atau import.
Ia secara tidak langsung dapat menjadikan suasana dalam pasukan terus harmoni seperti sebelum ini.”
ujarnya.
Sementara itu, Syazwan mengakui kemasukan ramai pemain muda membuat pemain senior sepertinya mendapat persaingan sihat untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
Beliau yakin skuad Hijau Kuning mampu meneruskan momentum kecemerlangan mereka pada musim ini untuk terus menjadi pencabar utama dalam Liga Super selain mengejar slot ke pentas Asia Tenggara.