Selamat hari jadi Kim Pan-gon! Tinggi harapan peminat mahu lihat Harimau Malaya terbang lebih tinggi

356

Kami di Harimau Malaya ingin mengucapkan selamat hari jadi buat ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia, Kim Pan-gon!

Tidak dapat dinafikan Pan-gon merupakan antara pengendali Harimau Malaya yang disayangi oleh peminat bola sepak tanah air dek perubahan besar yang dilakukan dalam bola sepak terutamanya untuk pasukan kebangsaan.


Sebelum beliau dilantik sebagai ketua jurulatih, skuad negara berada dalam keadaan terumbang-ambing namun sebaik sahaja beliau masuk banyak perubahan yang dilakukan termasuk cuba menerapkan DNA bola sepak Malaysia.

Kerja keras yang dilakukan oleh beliau dibuktikan menerusi hasil keputusan yang positif dan paling menakjubkan adalah apabila pengendali dari Korea Selatan itu berjaya membimbing skuad negara layak ke Piala Asia 2023 secara merit, sekaligus menamatkan kemarau lebih 40 tahun.

Bukan sahaja berjaya layak ke Piala Asia, tetapi kedudukan ranking skuad negara juga melonjak kepada tangga ke-138 dunia.

Pan-gon dan barisan kejurulatihan lain kini sedang sibuk membuat persiapan untuk skuad negara menjelang kejohanan berprestij Piala Asia yang akan dijadual akan berlangsung pada awal Januari 2024 di Doha, Qatar.

Pada 10 Jun ini, beliau akan memulakan kem latihan pusat Harimau Malaya bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 pada 14 dan 20 Jun ini.

Skuad negara akan menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea di mana kedua-dua perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu.

Dengan perkembangan yang cukup positif skuad negara ketika ini pastinya ramai yang berharap Pan-gon dapat meneruskan kecemerlangannya bukan sahaja bersama pasukan kebangsaan tetapi juga bola sepak tanah air secara keseluruhan.

Bimbing Harimau Malaya untuk berada di kedudukan bawah 100 dunia

Ya, mungkin tampak seperti sukar tetapi dalam bola sepak tiada yang mustahil dan apa sahaja boleh berlaku. Beliau juga sudah membuktikan kemampuannya apabila membawa skuad negara yang berada di ranking ke-150++ kepada 138, jadi tidak mustahil untuk beliau mampu mencapai sasaran ranking bawah 100.

Apa yang penting adalah, pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan kelab-kelab bola sepak di negara memberi kerjasama sepenuhnya untuk agenda Pan-gon.

Bawa Harimau Malaya ke pusingan kalah mati Piala Asia

Ya, impian atau harapan ini sangat sukar dan boleh dikatakan mustahil untuk dicapai kerana skuad negara telah diundi dalam Kumpulan E bersama pasukan gergasi seperti Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.

Seperti yang diperkatakan, dalam dunia bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan sekiranya Pan-gon berjaya bawa skuad negara mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama, beliau akan diangkat menjadi wira negara.

Jika tidak mampu mara ke pusingan kalah mati, sekurang-kurangnya skuad negara dapat bawa pulang mata semaksimum yang mungkin.

Piala ACL atau Piala AFC ketika dibawah era KPG

Bukan sahaja skuad negara sahaja berada dalam prestasi terbaik ketika ini, kelab-kelab di Liga Super juga telah memperlihatkan peningkatan kualiti yang ketara dan buktinya adalah pada musim lalu apabila dua kelab dari Malaysia berjaya mencipta sejarah di pentas Asia.

Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mencipta sejarah apabila menjadi pasukan dari Malaysia yang pertama berjaya mara ke pusingan kalah mati AFC Champions League (ACL), manakala KL City FC pula berjaya menjadi naib juara Piala AFC.

Mungkinkah dibawah era Pan-gon, kita akan menyaksikan kelab dari Malaysia mampu julang trofi Piala Asia mahu pun ACL satu hari nanti?

Dapat latih dan curahkan ilmu kepada jurulatih tempatan

Kehadiran beliau dalam bola sepak tanah air memberi impak yang cukup besar kerana beliau merupakan seorang jurulatih yang cukup berpengalaman di peringkat antarabangsa. Oleh itu, diharap dengan pengalaman luas dimilikinya, beliau dapat berkongsi ilmu itu bersama jurulatih-jurulatih tempatan.

Bukan sahaja Pan-gon berkebolehan melahirkan pemain berkualiti, mungkin beliau boleh melahirkan jurulatih tempatan hebat di persada antarabangsa.