Di saat semua ternanti kehadiran Falcao, TMJ beri bayangan minat dapatkan Chanathip

5,601

Jendela pendaftaran kedua pemain bagi Liga Super 2023 akan dibuka tidak lama lagi dan beberapa pasukan dilihat sudah pun menandatangani pemain baharu untuk memperkuatkan pasukan masing-masing.

Tumpuan peminat bola sepak tempatan ketika ini pastinya tertumpu kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sebelum ini dikatakan akan membawa masuk bintang Colombia, Radamel Falcao.


Foto bersama Falcao yang dikongsi oleh pemilik pasukan, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Instastory juga seakan-akan memberi bayangan bahawa pemain itu semakin dengan untuk ‘mendarat’ di Stadium Sultan Ibrahim.

Ketika ini, JDT mempunyai lapan pemain import dalam pasukan, jadi mereka masih ada satu lagi slot pemain import yang boleh diisi,

Jadi tiada masalah untuk mendaftarkan Falcao tanpa mengorbankan pemain sedia ada.

Namun, TMJ menarik perhatian peminat bola sepak Thailand selepas beliau meninggalkan ‘like’ dalam satu hantaran Twitter seorang peminat yang meminta baginda mendapatkan bintang negara itu, Chanathip Songkrasin yang ketika ini bermain bersama kelab J1 League, Kawasaki Frontale.

Terdapat khabar angin berterbangan di media sosial negara itu yang mengatakan bahawa Chanathip akan berpisah dengan Kawasaki Frontale, dan kini sedang diintai beberapa kelab Thailand seperti BG Pathum, Buriram United dan Port FC.

Ini kerana pemain itu dikatakan tidak sesuai dengan sistem yang mahu dimainkan oleh Kawasaki Frontale.

Namun, tidak mustahil JDT mampu membawa masuk pemain terbaik Piala AFF 2020 itu kerana reputasi yang dimilikinya.

Dengan barisan bintang yang ada ketika ini, ditambah dengan khabar angin Falcao akan turut menyertai pasukan, sudah tentu ia mampu menarik minat pemain itu.

Selain itu, persembahan mantap JDT di saingan AFC Champions League (ACL) termasuklah mengetepikan pasukannya dalam peringkat kumpulan pada musim lalu untuk melayakkan diri ke pusingan 16 terakhir menunjukkan bahawa JDT semakin baik di peringkat Asia.

Ia boleh menjadi salah satu sebab Chanathip berminat untuk menyertai projek JDT.

Tetapi, untuk membawa masuk kedua-dua Falcao dan Chanathip, JDT terpaksa mengorbankan salah seorang pemain import mereka ketika ini, dan mungkin pertahanan, Shane Lowry.

Tempat beliau dalam pasukan ketika ini semakin terhad dengan gandingan mantap Feroz Baharudin dan Jordi Amat yang sudah semakin serasi.

Apa-apa pun, sekiranya JDT mampu membawa masuk kedua-dua pemain itu, JDT pastinya akan menjadi lebih kuat dan mampu mencatatkan prestasi yang lebih baik dalam saingan ACL musim ini.