Ramai pemain kacukan Malaysia tunggu masa, kenapa perlu berlumba-lumba naturalisasikan import?
Semenjak kebenaran penggunaan semula pemain import di Liga Super pada tahun 2012, kini telah ramai pemain-pemain naturalisasi yang menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan negara.
Pemain pertama yang berjaya mencetak nama sebagai pemain naturalisasi pertama negara adalah Mohamadou Sumareh yang kini sudah mempunyai 28 perlawanan bersama Malaysia dan tujuh sumbangan gol.
Kini setelah 11 tahun berlalu, terdapat beberapa nama yang sedang menunggu untuk disahkan sebagai pemain naturalisasi dan boleh bermain untuk pasukan kebangsaan.
Antara nama yang disebut-sebut bakal disahkan sebagai pemain naturalisasi adalah Romel Morales (KL City FC), Argzim Redžović (Terengganu FC) dan Casagrande (Negeri Sembilan FC).
Pemain-pemain ini sudah berkelana di Liga Malaysia lebih lima tahun dan kini mereka sudah layak untuk diberi kerakyatan sekaligus menjadi pemain naturalisasi.
Romel Morales sudah beraksi di Liga Super sejak tahun 2018 dan pernah mewakili tiga kelab iaitu PKNS FC, Melaka United dan sekarang sedang beraksi bersama KL City.
Manakala Casagrande yang tahun ini sudah berumur 32 tahun memulakan langkahnya di Liga Super pada tahun 2019 bersama pasukan Melaka United, Penang FC dan juga sekarang bersama Negeri Sembilan.
Namun adakah Malaysia terlalu ‘pemurah’ dalam memberi kerakyatan kepada pemain bola sepak asing yang sudah cukup tempoh bermain di negara ini?
Dalam masa yang sama, terdapat ramai pemain berdarah Malaysia yang bermain di luar negara seperti Wan Kuzain (St. Louis City SC 2) dan Kobe Jae Chong (Nuneaton Borough) yang layak untuk mewakili negara.
Kobe sendiri kini dilaporkan sedang menyelesaikan proses naturalisasinya yang sudah sekian lama dilakukan, tetapi masih lagi sedang disiapkan.
Beliau juga pernah menyatakan hasratnya untuk bermain untuk Malaysia ketika ditemu bual Harimau Malaya sebelum ini dan memberitahu bahawa dia ingin fokus mengembangkan bakatnya di England.
Bukan saja mereka, terdapat beberapa lagi pemain warisan negara yang berada di luar negara dan memasang impian untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
Mereka hanya menunggu peluang untuk dipanggil dan bersedia untuk menukar kerakyatan mereka bagi membolehkan mereka mewakili Malaysia.
Bukankah pemain yang memiliki darah Malaysia seperti ini sepatutnya diberi perhatian untuk mewakili negara berbanding pemain import yang bermain di Liga Malaysia?
Dalam pada masa itu, skuad negara kini sudah mempunyai tujuh orang pemain yang sah bertaraf naturalisasi antaranya adalah Endrick Dos Santos (JDT), Guilherme de Paula (JDT), Liridon Krasniqi(JDT), Sergio Aguero (Sri Pahang), Lee Tuck (Kedah) dan Paulo Josue (KL City).