Kalah 4-1 kepada Arab Saudi, Osmera Omaro akur skuad muda kebangsaan belum matang
Jurulatih skuad bola sepak kebangsaan B-17, Osmera Omaro akui pemainnya kurang yakin pada awal permainan sehingga menjadi punca kekalahan 4-1 kepada Arab Saudi dalam perlawanan persahabatan petang tadi.
Beliau berkata, banyak kesilapan yang dilakukan oleh para pemain seawal minit pertama permainan lagi disebabkan rasa kurang yakin dalam diri mereka.
“Kita kurang percaya diri pada awalnya, sebab tu nampak macam perlahan sahaja tempo. Kemudian selepas kena gol pihak lawan barulah mereka rasa macam boleh main dengan lawan sebegini.
Kita perlu exposure seperti ini lebih kerap lagi,”
katanya.
Selain itu, Osmera turut memberitahu faktor lain kekalahan hari ini adalah ketidakmatangan pemain-pemain yang sedang membesar selain mudah melakukan kesalahan-kesalahan kecil sehingga membuahkan gol kepada pasukan pelawat.
Biarpun tewas, beliau merasakan Malaysia bermain dengan baik menentang salah satu pasukan terbaik di Asia.
“Saya rasa kita main sangat baik kalau kita rasa mereka (Arab Saudi) satu pasukan terbaik di Asia. Kita boleh kawal mereka, kita boleh buat percubaan. Namun ketidakmatangan pasukan ini menyebabkan gol yang kita bolos adalah berpunca daripada kesalahan-kesalahan individu.
“Tetapi kita harus ingat pemain-pemain ini, apabila kita melihat mereka di lapangan, kita dapati 80 peratus daripada mereka masih belum matang lagi.”
Namun kekalahan pada petang ini tidak mematahkan kepercayaan barisan kejurulatihan skuad B-17 negara memandangkan potensi yang ditunjukkan pada hari ini sudah cukup meyakinkan bagi mengharungi Piala Asia B-17 minggu hadapan.