Danish Iskandar ada sejarah ‘concussion’, jika keadaannya baik kita akan bawa ke Thailand – Osmera Omaro
Pemain skuad bola sepak B-17 tahun kebangsaan, Danish Iskandar mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas berlanggar dengan salah seorang pemain Arab Saudi dalam perlawanan persahabatan di Stadium UiTM Shah Alam petang tadi.
Pemain yang memakai jersi nombor 10 itu bermain dengan sangat baik pada awal permainan, namun tepaksa diusung keluar pada minit ke-41 untuk mendapatkan rawatan kecemasan disebabkan kecederaan di bahagian kepala.
Hasil maklumat lanjut yang diterima daripada ketua jurulatih pasukan, Osmera Omaro memberitahu bahawa Danish sememangnya pernah mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Sejurus sahaja pemain itu rebah di tepi padang sambil dibantu unit perubatan, Osmera terus membuat keputusan untuk memasukkan pemain berjersi 20 iaitu Aisy Al Hakim untuk menggantikan Danish yang terpaksa diusung menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Danish mempunyai sejarah ‘concussion’ dan saya tidak mendapat apa-apa maklumat lanjut lagi berkenaan keadaannya.
Jadi bila sudah ada sejarah sakit sebegini, pihak kami takkan biarkan dan kami bertindak secara terus untuk memberikan rawatan yang sepantutnya dengan segera,”
katanya.
Osmera turut mengulas lanjut tentang persiapan mereka berdasarkan perlawanan hari ini selepas ditanya adakah masih ada pelan atau strategi yang dirangka sekiranya Danish tidak dapat bermain dalam kejohanan Piala Asia B-17 yang akan bermula 15 Jun ini di Thailand.
“Jika dia (Danish Iskandar) dalam kondisi yang baik kita akan bawa, kalau dia tidak berapa baik, itu akan jadi cerita yang lain pula.
Kalau ikutkan dari segi pemain yang turun hari ini, saya tidak terlalu risau kerana nampak permainan yang ditunjukkan agak baik.”