Kim Pan-gon harap pemain JDT bawa prestasi cemerlang di kelab bersama skuad kebangsaan

1,321

Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon berharap prestasi cemerlang yang ditunjukkan pemain-pemain dari Johor Darul Ta’zim (JDT) dapat dibawa ke dalam Harimau Malaya untuk dua aksi persahabatan bulan ini.

Katanya, untuk dua perlawanan tersebut, beliau mahu memastikan pasukan menunjukkan persembahan yang baik kepada seluruh penyokong.


“Saya rasa ketika ini mereka (JDT) begitu kuat dan baik, saya harap mood itu mampu berikan sesuatu yang baik di sini.

Untuk dua perlawanan ini, kita akan bermain di home jadi kita perlu beri kemenangan dan menunjukkan persembahan yang baik kepada penyokong,”

katanya.

Malaysia akan menentang dua pasukan dari Oceania, Solomon Islands pada 14 Jun ini dan Papua New Guinea pada 20 Jun ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan dua perlawanan persahabatan ini adalah peluang untuknya menilai kemampuan anak-anak buahnya menentang lawan dengan fizikal yang kuat.

“Kedua-dua pasukan ini berbeza daripada pasukan Asia Tenggara dari segi standard fizikal, jadi ia akan menjadi cabaran buat kami dari sudut fizikal.

Kita mahu nilai bagaimana kita boleh berlawan dan mendominasi menentang pasukan seperti ini, selain mahu terus meningkatkan taktikal kita.”

Tambah Pan-gon, setakat ini semua pemain tiada masalah melaporkan diri untuk kem latihan kecuali pemain KL City FC, Haqimi Azim yang tidak sihat.

Beliau berkata pemain itu terpaksa digugurkan selepas tidak sempat untuk pulih pada masanya.