Janganlah hari-hari saya saja kena serang, tukarlah pemain lain pula – Faisal Halim
Pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim enggan ambil kisah terhadap segala kecaman yang diterimanya di luar padang.
Katanya, sebagai pemain perkara itu adalah biasa dan beliau tahu tanggungjawabnya sebagai pemain, jadi beliau tidak akan membiarkan ia mempengaruhi dirinya.
“Awak katalah apa sekalipun, kacaulah saya macam mana sekalipun, saya tidak akan memberontak atau down.
Saya tahu benda itu biasa sebagai seorang pemain tetapi janganlah hari-hari saya saja, tukarlah pemain lain pula,”
katanya.
Dalam pada itu, Faisal berkata bahawa kembalinya beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dalam dua aksi persahabatan akan datang dapat mengubat rindunya kepada sorakan penyokong Terengganu.
Beliau berharap rakyat Terengganu dapat memberikan sokongan padu kepada pasukan Harimau Malaya dalam dua aksi persahabatan ini.
“Bila kembali ini terubatlah rindu saya kepad penyokong Terengganu, tetapi kali ini saya datang sebagai pemain kebangsaan.
Jadi saya harap sokongan yang tidak belah bahagi diberikan kepada semua pemain oleh penyokong di negeri ini.”
Faisal mahu Malaysia mencatatkan kemenangan dalam dua aksi persahabatan tersebut supaya dapat terus mengutip mata dan menaikkan lagi ranking FIFA negara.
Malaysia akan bertemu Solomon Islands pada 14 Jun ini manakala lawan seterusnya adalah Papua New Guinea pada 20 Jun.