Jika kita mampu bermain pada tahap sebenar, kita mampu dapat keputusan positif – Osmera Omaro

271

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-17, Osmera Omaro memberitahu peluang untuk pasukannya memperoleh keputusan positif dalam kejohanan Piala Asia B-17 2023 cerah sekiranya mereka mampu pamerkan permainan sebenar mereka.

“Saya harap pemain-pemain dapat matang sikit kerana mereka ini datang dari dua akademi dan mereka sudah terbiasa dengan falsafah tersendiri dan kadang-kadang pemain ini terikat dengan falsafah tersebut.

Mereka kena faham yang mereka berada dalam pasukan kebangsaan dan jika mereka dapat baiki kematangan itu ia akan jadi lebih baik.

Saya sering memberitahu pemain-pemain, jika mereka mampu bermain pada tahap sebenar, kita mampu dapat keputusan positif,”

katanya.

Tambahnya lagi, pemain juga perlu memperbaiki dan cuba mengelak dari melakukan kesilapan-kesilapan kecil yang mampu menghukum pasukan.


Walaupun menyedari kejohanan Piala Asia B-17 adalah kejohanan besar, Osmera memberitahu beliau tidak meletakkan sebarang tekanan tinggi kepada anak buahnya.

“Untuk pasukan kita, pemain-pemain ini sudah lama tak bermain dek pandemik COVID-19 dan tiba-tiba terkejut dipanggil untuk menyertai pasukan kebangsaan. Kita sudah sampai ke Piala Asia pun dah cukup bagus dah.

Pemain yang sering letak tekanan tinggi pada diri sendiri. Bagi saya, apa yang saya tekankan adalah performance dan kemudian keputusan. Kita boleh main permainan terbaik kita, tapi kita kalah dan ada kalanya kita main tak baik kita boleh menang.”

Skuad negara yang diundi dalam Kumpulan A akan membuka kempen Piala Asia mereka menentang Yemen pada 15 Jun diikuti perlawanan kedua berdepan Thailand pada 18 Jun dan perlawanan terakhir menentang Laos pada 21 Jun.

Sasaran skuad negara adalah untuk cuba mara ke separuh akhir kerana empat pasukan terbaik akan layak ke Piala Dunia B-17 2023 yang akan berlangsung pada November depan.