Tak kisah dari bangku simpanan atau kesebelasan utama, saya mahu berikan impak untuk pasukan – Lee Tuck
Pemain kebangsaan, Lee Tuck mahu membuktikan beliau layak berada dalam pasukan dan memberikan impak sebaik mungkin apabila diturunkan pada perlawanan persahabatan menentang Solomon Islands dan Papua New Guinea.
Jelasnya, selepas tidak dipanggil untuk dua perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan dan Hong Kong sebelum ini, panggilan kali ini adalah peluang untuknya menunjukkan sesuatu.
“Apabila anda terlepas panggilan sebelum ini, anda pastinya mahu membuktikan sesuatu jadi saya di sini untuk berikan impak tidak kisahlah dari bangku simpanan atau kesebelasan utama.
Saya harus tunjukkan saya layak berada dalam skuad ini kerana kita ada ramai pemain lain yang juga bagus,”
katanya.
Katanya, beliau hanya perlu menunjukkan kemampuannya dan yang lain semuanya terpulang kepada jurulatih untuk menilai.
Dalam pada itu, Lee Tuck berkata bahawa kembali ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin menggamit memorinya kembali kerana pernah beraksi bersama Terengganu sebelum ini.
“Saya luangkan banyak masa di sini, saya masih ingat penyokongnya, bandarnya serta stadiumnya.
Saya rasakan biasa berada di sini dan saya gembira dapat beraksi di Terengganu.”
Tambahnya, atmosfera dalam pasukan kebangsaan ketika ini amat baik serta positif, dan beliau amat teruja untuk beraksi dalam dua perlawanan persahabatan tersebut.