Stadium Shah Alam menyimpan 1001 kisah pahit manis bola sepak di Malaysia
Stadium gergasi yang menjadi gelanggang keramat buat pasukan The Red Giants iaitu Stadium Shah Alam (SSA) menyimpan 1001 kisah pahit manis bola sepak di Malaysia bakal menjadi kenangan apabila ia akan dirobohkan pada awal Oktober ini.
Perobohan SSA ini dilakukan bagi memberi ruang untuk pembinaan semula stadium keramat itu yang akan menjadi lebih moden dan canggih.
Dianggarkan SSA atau nama barunya kelak iaitu Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) akan menelan kos sekitar RM787 juta atau mungkin lebih untuk dibangunkan, dan apabila ia siap lagi tiga tahun KSSA akan menjadi stadium termoden dan canggih setaraf dengan stadium di Eropah.
Keterujaan peminat terutamanya peminat Selangor FC dengan pembinaan stadium baru, pasti terdetik akan kenangan, sejarah dan nostalgia yang terpahat dalam ingatan para peminat yang pernah merasai sendiri suasana menakjubkan di SSA pada satu ketika dahulu.
Pernah menjadi ‘home of Harimau Malaya’, SSA menjadi saksi kepada ribuan perlawanan saingan Liga Malaysia dan pasukan kebangsaan Malaysia.
Mengungkap sejarah, SSA yang mula menganjurkan perlawanan bola sepak sejak 1994 turut telah menyaksikan pasukan gergasi dari Eropah seperti Bayern Munich, Leeds United, Chelsea, Barcelona dan Tottenham Hotspur pernah beraksi di stadium itu.
Antara nostalgia lain yang tidak boleh dilupakan sudah pastinya pada perlawanan Piala Malaysia 1994 di mana ketika itu seramai 90,000 peminat hadir untuk menyaksikan perlawanan di antara tuan rumah Selangor menentang Kedah yang menyaksikan pasukan pelawat berjaya memperoleh kemenangan.
Selain itu, bagi yang pernah ke SSA pastinya akan ingat dengan lukisan-lukisan mural yang menceritakan pelbagai kisah dan sejarah seperti illustrasi skuad Selangor pada tahun 1986 yang mana ketika itu mereka berjaya menjadi juara Piala Malaysia.
SSA juga sebelum ini sering menjadi venue untuk perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia dan setiap kali berlangsung, stadium akan dibanjiri 80,000 peminat yang menggamatkan suasana.
Sementara itu, SSA juga menjadi saksi pada tahun 2017 dimana Malaysia yang ketika itu dipilih menjadi tuan rumah bagi Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) dan ketika itu skuad kebangsaan kita berjaya mara ke final namun tumpas di tangan musuh tradisi, Thailand.
Tinggal beberapa bulan sahaja lagi sebelum bangunan berprestij itu dirobohkan pasti ada beberapa pengalaman manis yang tak dapat dilupakan oleh peminat dan dan mungkin ada segelintir akan melawat stadium itu buat kali terakhir untuk bergambar kenangan sebelum ia bertukar wajah nanti.