Kalau kita tak mampu layak ke separuh akhir kita akan berasa sangat kecewa – Afiq Danish
Kapten pasukan kebangsaan B-17, Afiq Danish Hasniruddin memberitahu bahawa beliau dan rakan sepasukannya sudah bersedia untuk mengharungi kejohanan Piala Asia B-17 2023 di Bangkok, Thailand.
Menurut Afiq, beliau yakin dengan kemampuan pasukannya kerana mereka sudah lama membuat persiapan untuk kejohanan ini dan meletak sasaran sekurang-kurangnya untuk layak ke separuh akhir.
“Kita sudah membuat persiapan lama dan bermain dalam banyak perlawanan dan kita sudah tahu kemampuan kita.
Jadi jika kita tidak layak, kita akan berasa sedih dan betul-betul kecewa. Mungkin jika dahulu kita tidak terlalu kecewa kerana ketika itu pasukan kita belum bagus, tapi dengan prestasi terbaik pasukan ketika ini, jika gagal memang kita akan kecewa dengan diri sendiri,”
katanya.
Skuad Harimau Muda akan memulakan kempen Piala Asia dalam Kumpulan A menentang Yemen pada 15 Jun diikuti perlawanan kedua berdepan Thailand pada 18 Jun dan perlawanan terakhir menentang Laos pada 21 Jun.
Dalam pada itu, Afiq juga juga memikul tanggungjawab yang cukup besar apabila beliau dipilih sebagai kapten pasukan yang baru selepas kapten terdahulu terpaksa digugurkan dek kecederaan.
Mengakui berasa gugup pada awalnya, namun beliau kini semakin selesa menggalas tanggungjawab itu dan berjanji akan cuba membimbing rakan sepasukan untuk memperoleh kemenangan.
Sementara itu, Afiq memberitahu tempoh beberapa hari yang mereka ada apabila tiba di Bangkok nanti akan digunakan untuk cuba memperbaiki segala kelemahan dan cuba untuk mengelak dari membuat kesilapan-kesilapan mudah.
“Selepas dua kekalahan pada perlawanan persahabatan menentang Uzbekistan dan Arab Saudi baru-baru ini, kita enggan toleh ke belakang dan akan jadikannya sebagai pengajaran dan fokus ke depan.”