Bukan sekat pembelian pemain sahaja, MFL perlu juga kenakan sekatan untuk pemain pinjaman

1,356

Ketika ini kebanyakan pasukan di Liga Super sedang dalam perancangan untuk melakukan perubahan untuk pada jendela perpindahan kedua yang akan bermula pada bulan Julai ini bagi memperkuatkan pasukan bagi mengharungi baki saingan liga.

Tidak dapat dinafikan peminat-peminat juga teruja untuk menanti perubahan tersebut dan berharap pihak pengurusan kelab akan membawa masuk pemain yang benar-benar berkualiti untuk bantu pasukan peroleh keputusan positif.


Namun disebalik keterujaan kelab dan peminat, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Datuk Stuart Ramalingam telah mengesahkan sekurang-kurangnya dua pasukan akan dikenakan sekatan pembelian pemain baru untuk jendela perpindahan kedua nanti berikutan masalah tunggakan gaji.

Biarpun tidak menyebut kelab manakah yang akan dikenakan sekatan itu, namun rata-rata peminat bola sepak tanah air sudah dapat mengagak salah satu kelab tersebut iaitu Kelantan FC yang mana semua sedia maklum dengan isu tunggakan gaji pemain kelab tersebut.

Namun satu dan dua kelab lagi, memang terdapat khabar angin yang mengatakan mereka juga berdepan masalah gaji namun sehingga kini tiada sebarang pengesahan daripada pihak kelab atau pemain sendiri yang tampil.

Sekatan pembelian pemain baru oleh MFL adalah satu tindakan yang tepat bagi mengelak isu sama terus berlarutan, namun kelab pastinya akan cuba membawa cara lain iaitu membawa masuk pemain berstatus pinjaman.

Oleh itu, diharap MFL akan lebih tegas lagi dengan turut mengenakan sekatan terhadap pemain pinjaman kepada kelab bermasalah.

Ini kerana majoriti kelab yang membawa masuk pemain pinjaman dari kelab lain, mereka lebih cenderung untuk tidak membayar gaji pemain itu sebaliknya dan tidak akan menurunkan pemain tersebut sekiranya mereka bertemu kelab yang memberi pinjaman itu.

Ia bukan hukuman kejam, sebaliknya mahu memberi pengajaran kepada mereka supaya bersikap lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan pemain.

Pihak kelab tidak seharusnya memikirkan tentang pencapaian pasukan sahaja sehingga mengabaikan kebajikan pemain kerana ia pasti akan menjejaskan prestasi di atas padang.

Contoh terbaik sudah semestinya juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sangat menitik beratkan mengenai kebajikan pemain dan tidak pernah berdepan sebarang isu gaji dan ia nyata membuatkan keadaan pasukan berada dalam keadaan cukup harmoni dan ia diterjemahkan menerusi kejayaan demi kejayaan yang diperolehi oleh mereka.

Kelab manakah yang akan diumumkan dikenakan sekatan nanti? Sama-sama kita tunggu perkembangan terkini dari MFL.