Datuk Posa lupa atau buat-buat lupa tentang kemelut Sarawak United FC?
Sarawak United FC (SUFC) dan pengurusan bola sepak Sarawak kini ibarat ‘reput menunggu hancur’ apabila kemelut dalaman institusi bola sepak tersebut masih belum selesai sehingga kini seperti yang dijanjikan oleh Presidennya, Datuk Posa Majais.
Posa Majais yang merupakan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan juga pasukan SUFC itu sebelum ini telah berjanji akan menyelesaikan segala kemelut yang melanda skuad Bujang Senang itu sebelum dia berundur.
Namun perkara ini sudah memakan masa yang agak lama sehingga timbul isu-isu yang agak hangat melibatkan tunggakan gaji serta kekurangan fasiliti latihan untuk pasukan tersebut.
Adakah beliau sudah lupa dengan janjinya atau menyerahkan segala beban tersebut di atas bahu pemimpin baru?
Mengenangkan permasalahan yang berlaku kebelakangan ini timbul isu dimana bekas pengarah teknikal dan ketua jurulatih B. Sathianathan berulang kali membangkitkan isu tunggakan gaji kepada pihak media tetapi ia hanya seperti ‘mencurah air ke daun kelab’ kerana sehingga kini tiada tanda-tanda masalah itu akan diselesaikan.
Hal ini secara tidak langsung akan menjatuhkan moral para pemain sekaligus menganggu rentak permainan sepasukan disebabkan pemain ini juga merupakan manusia biasa yang bekerja untuk gaji bagi menjaga periuk nasi mereka.
Selain itu, pemain yang kini bermain di Liga M3 itu juga tidak memiliki fasiliti yang mencukupi untuk latihan dan lagi menyedihkan apabila SUFC tidak mempunyai padang sendiri sebagai tempat latihan mereka.
Mengikut perkongsian yang dibuat dalam laman Facebook milik Kelab Penyokong Sarawak United FC, skuad SUFC hanya dibenarkan untuk berlatih selama satu jam sahaja dan sebelum ini juga Sathianathan pernah memberi komen bahawa pasukan SUFC tidak memiliki alat latihan khusus bagi memulakan latihan.
Perkara ini sememangnya tidak patut terjadi bagi sesebuah pasukan bola sepak yang boleh dikatakan sangat sinonim dengan penyokong tempatan namun dengan ketiadaan peralatan dan struktur asas bola sepak iaitu padang latihan memperlihatkan pihak pengurusan tertinggi kelab tersebut seperti tidak menjalankan tanggungjawabnya sewajarnya.
Posa seharusnya meneliti dan mencari jalan penyelesaian bagi membantu menaikkan semula pasukan itu kembali ke kancah Liga Super bermula dengan menyediakan pusat latihan yang lengkap supaya pemain-pemain ini dapat berlatih dan meningkatkan semula keyakinan mereka.