Hampir mati dihempap runtuhan salji, melihat pendaki putus kepala antara cabaran perlu dihadapi untuk takluk Gunung Everest

310

Baru-baru ini Malaysia dikejutkan dengan berita yang cukup menyedihkan apabila pendaki dari negara dari Ekspedisi Malaysia Everest 2023 (ME 2023) telah meninggal dunia di puncak tertinggi dunia itu akibat masalah kesihatan.

Tidak lama kemudian kita dikejutkan lagi dengan berita sedih apabila seorang lagi pendaki negara yang merupakan OKU (orang kelainan upaya) pendengaran yang berjaya menakluk puncak Gunung Everest hilang ketika dalam perjalanan turun dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki tersebut terpaksa dihentikan dan akan disambung semula pada tahun hadapan.


Itulah cabaran yang perlu dihadapi oleh setiap pendaki yang cuba menakluk gunung tertinggi dan paling bahaya di dunia itu kerana hanya pendaki yang mempunyai kekuatan mental dan fizikal serta izin-Nya sahaja yang mampu sampai ke puncak.

Antara pendaki yang pernah berjaya menakluk Everest adalah pasangan suami isteri Mohd Rafi Kori dan Marina Ahmad ketika mereka menyertai Ekspedisi Merdeka De Everest pada 2007 yang turut menyaksikan Marina menjadi wanita Malaysia pertama yang berjaya sampai ke puncak.

Bagaimanapun, disebalik keterujaan dan kegembiraan berjaya menaklum gunung yang berketinggi 8, 849 meter, pelbagai dugaan dan cabaran yang perlu dihadapi oleh mereka sepanjang berada di sana.

Antara perkara yang tidak boleh dilupai oleh mereka adalah apabila mereka hampir mati dihempap runtuhan salji dan juga menyaksikan sendiri mayat pendaki putus kepala akibat terkena runtuhan salji.

“Pengalaman yang tidak boleh dilupakan apabila kami hampir dihempap runtuhan salji yang mana runtuhan itu bongkah ais sebesar bangunan menara. Runtuhan itu berlaku hanya 50 meter di hadapan kami.

Waktu itu memang kami duduk rapat-rapat dan mengucap dan takbir Alhamdulillah kami hanya terkena tempiasnya sahaja dan bersyukur kami selamat kerana terlambat sedikit nak sampai di tempat itu.

Semua orang tahu setiap musim akan ada kematian. Waktu kami pergi itu ada lapan kematian. Waktu kami ke kem dua ada kematian malam sebelum, waktu kita naik kita bertembung dengan mayat. Ia sedikit sebanyak menganggu emosi dan fokus kami,”

ujar Rafi kepada Harimau Malaya.

Marina pula berkata mangsa merupakan pendaki dari Korea Selatan yang mana insiden yang berlaku cukup mengerikan.

“Itu adalah pendaki dari Korea yang cuba naik ke puncak menggunakan jalan yang lain di mana mereka cuba naik dari kem dua ke kem empat terus tanpa melalui kem tiga, tapi nasib tidak menyebelahi mereka.

Mereka menjadi mangsa runtuhan salji yang mana insiden itu berlaku dalam keadaan yang cukup menyedihkan apabila ada yang putus kepala.”

Dalam pada itu, Rafi berkata untuk pendakian gunung yang mempunyai ketinggian lebih 8,000 meter ia memerlukan kudrat yang cukup tinggi dari segi fizikal, mental dan juga rohani.

Pada masa sama perlu membuat persiapan dengan cukup rapi termasuk latihan selama dua tahun sebelum memulakan pendakian.

Sementara itu, melihat kepada perkembangan terkini dalam dunia pendakian terutamanya di Malaysia sendiri apabila sukan pendakian semakin popular dan makin ramai pendaki negara mula melakukan pendakian di luar negara, beliau berharap agar satu SOP (standard operating standard) dan diperkemaskan supaya dapat mengelak perkara tidak diingini berlaku.

“Saya, Marina dan rakan dari Persatuan Kembara Negara sudah bersama untuk berkongsi input, pengalaman dan apa jua yang terbaik bagi memastikan sukan pendakian gunung di luar negara dapat diperkemas dalam semua perkara,”

kata Rafi.

“Bagi saya SOP sangat penting untuk kita cuba kurangkan risiko sebarang kemungkinan yang akan berlaku. InsyaAllah jika ia dibuat dengan betul, risiko itu dapat dikurangkan,”

jelas Marina.