Adili perlawanan Indonesia-Argentina dengan baik, tiga individu buktikan Malaysia ada pengadil berkualiti

3,037

Ramai yang terpegun dengan aksi-aksi daripada perlawanan Indonesia menentang Argentina semalam, namun tidak ramai yang perasan berkenaan ketiga-tiga pengadil yang bertugas pada perlawanan itu adalah dari Malaysia!

Perlawanan persahabatan antarabangsa antara skuad Garuda dan juara dunia itu berkesudahan dengan jaringan 2-0 dan ia telah berlangsung dengan lancar hasil kawalan tiga pengadil tempatan iaitu Muhammad Usaid bin Jamal sebagai pengadil utama, Mohd Mu’azi bin Zainal Abidin sebagai pembantu pengadil pertama dan Nadziran Eziz sebagai pembantu pengadil kedua.


Sebelum ini wujud kontroversi melibatkan pengadil-pengadil di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kurang berkualiti selepas banyak perlawanan yang dimainkan di Liga Super, di mana banyak keputusan dipersoalkan oleh pasukan dan juga penonton.

Namun perkara ini bukanlah disebabkan beberapa yang teruk, maka yang lain juga begitu kerana kini tampak telah terbukti meskipun dipandang sebelah mata oleh pecinta bola sepak di Malaysia.

Akan tetapi ketiga-tiga pegawai perlawanan itu diberi kepercayaan dan tanggungjawab bagi mengadili perlawanan yang dimainkan oleh pasukan sebesar Argentina, dan membuktikan bahawa Malaysia sebenarnya memiliki pengadil yang bagus.

Pujian harus diberikan kepada ketiga-tiga pengadil ini kerana telah membawa nama dan mutu pengadil Malaysia di peringkat antarabangsa dengan berjaya mengawal permainan dengan baik,

Pada perlawanan itu, hanya satu kad kuning yang dilayangkan iaitu kepada pemain muda Argentina, Julian Alvarez.

Sedikit latar belakang tentang Muhammad Usaid, beliau pernah terlibat dalam tiga perlawanan antarabangsa termasuk semalam, selain Singapura menentang Vietnam di kejohanan Piala AFF pada penghujung tahun 2022 dan perlawanan persahabatan Indonesia menetang Palestin baru-baru ini.

Seterusnya bagi Mohd Mu’azi yang kini berumur 36 tahun pula, beliau sudah berpengalaman dalam menjadi pembantu pengadil sejak tahun 2014 lagi.

Menurut rekod semasa, beliau sering terlibat dengan perlawanan-perlawanan yang melibatkan pasukan gergasi misalnya Korea Selatan bertemu China di Piala Asia pada 2019.

Sehingga kini jumlah perlawanan antarabangsa yang pernah diadili adalah sebanyak 24 perlawanan termasuk perlawanan semalam.

Bagi Nadziran Aziz, perlawanan ini merupakan kali kedua beliau mengadili perlawanan antarabangsa selepas satu lagi perlawanan pasukan Indonesia menetang Palestin tempoh hari.

Meskipun masih baru menjadi pengadil iaitu sejak tahun 2021, namun beliau sudah mengadili lebih daripada 15 perlawanan di Liga Super.

Oleh yang demikian, ini merupakan satu lagi pencapaian dan pendedahan baru untuk meningkatkan lagi mutu pengadilan di Malaysia sekaligus membuka mata para peminat tempatan bahawa bukan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.