Tiada perbincangan Azizulhasni kembali jalani latihan di Australia – Hannah Yeoh
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan bahawa buat masa ini, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tiada berbincang dengan pihaknya untuk kembali berlatih di Australia.
Jelasnya, Azizul ketika ini akan terus berlatih di Malaysia dan koordinator Road To Gold (RTG), Datuk Stuart Ramalingam akan berjumpa dengan beliau dalam masa terdekat untuk membincangkan mengenai keperluannya.
“(Beliau) tiada kata untuk kembali ke Australia, beliau akan berjumpa koordinator dalam masa terdekat jadi koordinator akan maklumkan, buat masa ini masih di Malaysia,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, Hannah berkata bahawa jumlah peruntukan keseluruhan untuk program RTG yang bernilai RM6.9 juta adalah berbeza mengikut keperluan atlet.
Tegasnya, tidak semestinya atlet yang mendapat peruntukan lebih menandakan mereka lebih disayangi, ia bergantung kepada kelengkapan yang diperlukan oleh atlet tertentu.
“Setiap sukan mempunyai keperluan yang berbeza, kita tak boleh kata sayang Azizul lebih sebab itu peruntukan untuknya lebih kerana keperluannya seperti basikal adalah tinggi harganya.
Yang penting apa yang perlu kita bantu kita akan bantu, untuk persiapan mereka di Olimpik nanti, tetapi buat masa sekarang saya tiada data mengenai peruntukan yang diberikan kepada setiap atlet.”
Terdahulu, Hannah berkata bahawa pihak RTG telah meluluskan semua permintaan Azizul untuk persiapannya ke Sukan Olimpik tahun depan.