Kehangatan Piala FA semakin membara, JDT beri peluang 1,000 penyokong Selangor rasai atmosfera SSI
Sebelum ini, 800 tempat duduk merupakan jumlah peruntukan terbanyak yang diberikan oleh Johor Darul Takzim (JDT) untuk pasukan pelawat yang bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim.
Namun, bagi perlawanan separuh akhir Piala FA poada 26 Jun ini, JDT menaikkan kuota tiket pelawat kepada 1,000 keping setelah permintaan daripada pihak Selangor FC, berdasarkan pengumuman daripada Ketua Pegawai Eksekutif kelab, Alistair Edwards di laman sosial.
Ini dapat peluang kepada peminat-peminat bola sepak tanah air, khususnya dari Selangor merasai sendiri pengalaman berada di dalam stadium yang diiktiraf sebagai stadium terbaik di dunia pada tahun 2020 itu.
Peluang yang diberikan oleh JDT ini haruslah dimanfaatkan oleh penyokong-penyokong Selangor memandangkan ini adalah satu perlawanan yang besar dan mungkin dengan kehadiran mereka memenuhi kesemua 1,000 kuota itu mampu menjelmakan kemenangan buat Selangor.
Memandangkan perlawanan akhir Piala FA juga akan diadakan di stadium yang sama, ini juga patut menjadi pembakar semangat buat Gergasi Merah memasang cita-cita untuk kembali ke venue yang sama untuk perlawanan akhir.
Meskipun ini bakal menjadikan perlawanan itu lebih hangat lagi, tetapi diharapkan tiada kes pergaduhan antara penyokong yang terjadi seperti yang telah berlaku dalam tempoh sebulan yang lalu.
Kejadian yang berlaku di stadium tertutup Pasir Gudang usai perlawanan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) 2023 antara Selangor MAC dan JDT berakhir dengan keputusan seri namun berlaku pergaduhan selepas perlawanan sehingga menyebabkan beberapa penyokong Selangor cedera.
Walaupun ia adalah sukan yang berbeza, kehangatan serta perseteruan antara JDT dan juga Selangor juga tidak mustahil menyebabkan insiden seperti itu berulang.
Namun diharapkan perkara ini sudah tidak berulang lagi dan pihak pengurusan keselamatan yang menjaga setiap sudut stadium teliti dalam mengawasi kawasan dalam dan luar stadium.