Pemain Qatar didakwa terlibat insiden perkauman, cemarkan imej tuan rumah Piala Asia 2023

710

Isu perkauman dalam sukan bola sepak semakin parah apabila kini beberapa pasukan daripada Asia terpalit dengan isu ini sekaligus sedikit sebanyak mencacatkan imej bola sepak di rantau ini.

Kebiasaannya, pemain-pemain daripada Asia sering menjadi mangsa perkauman oleh pemain atau penyokong lain terutama di Eropah.


Namun, baru-baru ini timbul beberapa dakwaan melibatkan beberapa pasukan daripada Asia yang membuat perilaku perkauman terhadap pasukan lawan semasa perlawanan persahabatan.

Isnin lalu, perlawanan persahabatan melibatkan skuad Qatar dan New Zealand terhenti sejurus berlaku pertelingkahan sehingga seorang pemain Qatar didakwa mengeluarkan kata-kata yang berbaur perkauman dan warna kulit terhadap pertahanan New Zealand, Michael Boxall.

Terkesan dengan perkara itu pihak kejurulatihan New Zealand telah berbincangan dengan Boxall berkenaan perkara ini dan disebabkan tiada apa-apa tindakan yang diambil oleh pegawai perlawanan, maka New Zealand memilih untuk menarik diri.

Dalam perlawanan yang lain, skuad B-21 Ireland telah menarik diri daripada perlawanan menentang Kuwait setelah menerima kecaman berbaur perkauman sama seperti insiden pada perlawanan Qatar dan New Zealand.

Pihak pengurusan dan jurulatih kedua-kedua pasukan menyuarakan perkara yang sama di mana tiada ruang untuk perkauman dalam bola sepak, akan tetapi seperti yang dikatakan oleh jurulatih Qatar bahawa pertelingkahan tersebut melibatkan dua pemain dan menurutnya tiada siapa yang tahu pihak yang memulakan pergaduhan tersebut.

Namun, isu-isu sebegini secara tidak lansung memberi kesan kepada imej bola sepak Asia, lagikan pula Qatar merupakan tuan rumah bagi kejohanan bola sepak terbesar di Asia iaitu Piala Asia 2023 pada awal tahun hadapan.

Seperti yang terjadi kepada Piala Dunia terdahulu apabila negara tersebut dikritik hebat oleh media Eropah kerana wujud segelintir peminat mahu memboikot kejohanan itu kerana menurut mereka Qatar tidak layak disebabkan membayar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menjadi tuan rumah.

Jadi apabila hal ini berlaku ia seakan-akan menghidupkan kembali arang yang telah padam untuk media-media di sebelah barat menjaja cerita buruk terhadap negara-negara di rantau Asia khususnya Qatar yang bakal menganjurkan Piala Asia.

Sehubungan itu, perkara ini juga dipandang serius oleh FIFA apabila pemain bertaraf superstar yang kini sedang bermain dengan kelab terbaik dunia, Real Madrid iaitu Vinicius Junior atau Vini Jr yang diserang dengan pelbagai insiden perkauman oleh penyokong di La Liga.

Pengerusi FIFA, Gianni Infantino baru-baru ini menyedari bahawa perkara ini sudah melampaui batas kemudian telah mengumumkan jawatankuasa anti-perkauman yang dipengerusikan sendiri oleh Vini Jr.

Diharapkan dengan langkah ini sedikit sebanyak dapat membuka mata para pemain dan penyokong untuk hentikan perilaku perkauman seperti ini agar ia tidak menjejaskan sukan bola sepak yang sepatutnya menyatukan seluruh dunia.

Qatar juga diharapkan dapat menjalankan siasatan ke atas dakwaan pihak New Zealand itu supaya dapat membersihkan imej negara itu daripada dikaitkan dengan perbuatan perkauman.