Kim Pan-gon bimbang prestasi pasukan naik dengan drastik, bimbang dengan harapan menggunung peminat
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon gembira dengan prestasi yang dipamerkan oleh pasukannya selepas mereka berjaya membelasah Papua New Guinea 10-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 malam tadi.
Pan-gon bagaimanapun menyuarakan sedikit kebimbangan dengan peningkatan prestasi Harimau Malaya yang naik dengan mendadak.
“Itulah saya bimbang sekarang ini yang mana kita naik dengan begitu cepat sekali dan ranking juga naik dengan mendadak.
Saya secara peribadi merasakan perkara ini tidak bagus kerana peminat akan mula meletak harapan yang cukup tinggi, satu hari kita mungkin akan ‘karam’. Setiap orang perlu sedar bahawa kita mempunyai batas,”
katanya.
Beliau bagaimanapun meminta agar semua pihak dapat menikmati kejayaan yang dikecapi ketika ini dan akan terus utuh berada di belakang pasukan tidak kira dalam apa jua situasi.
Dalam pada itu, Pan-gon nyata gembira dengan persembahan pada malam tadi dan berharap pasukannya akan meneruskan corak permainan sama apabila menentang pasukan yang lebih kuat nanti.
“Saya gembira dengan keputusan malam ini, tapi ini bukannya pengakhiran sebaliknya ia hanya satu lagi perlawanan. Saya mahu melihat corak permainan ini apabila kita menentang pasukan lebih kuat nanti. Itu adalah sasaran saya.”
Beliau pada masa sama turut menegaskan bahawa sekiranya pasukan ingin terus konsisten dalam jangka masa panjang, mereka perlu teruskan dengan corak permainan sama ketika menentang mana-mana pasukan tidak kira kedudukan ranking.
“Kami mahukan konsistensi dan tidak mahu menukar corak permainan berdasarkan kekuatan. Jika kita berbuat demikian bola sepak tidak akan dapat berkembang. Kami mahu bermain secara menyerang walaupun menentang pasukan kuat dan cuba untuk adaptasi serta memperbaiki segala kelemahan dan satu hari nanti kita akan berkembang dengan baik.”