Hilang fokus jadi di separuh masa kedua jadi punca kami tewas – Harrison Kamake

1,783

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Papua New Guinea, Harrison Kamake memberitahu pemain hilang fokus pada separuh masa kedua menjadi faktor utama mereka dibelasah pasukan Malaysia 10-0 malam tadi.

Dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, anak buah Kamake berjaya memberi saingan kepada skuad Harimau Malaya apabila mereka hanya sekadar bolos satu gol di minit-minit akhir menerusi sepakan penalti.


Bagaimanapun masuk separuh masa kedua, mereka seperti hilang apabila bolos sembilan gol.

“Tahniah kepada Malaysia, mereka adalah pasukan yang lebih baik pada malam ini. Kesemua pemain bermain mengikut perancangan yang telah ditetapkan tetapi pada separuh masa kedua pemain mula hilang fokus.

Bermain dengan pasukan yang lebih berkualiti seperti Malaysia membuatkan kami dihukum apabila mula hilang fokus,”

katanya.

Kamake berkata beliau menerima kekalahan besar ini dengan terbuka dan akan terus memperbaiki segala kelemahan dari satu perlawanan ke satu perlawanan lain.

Dalam pada itu, disebalik kekalahan besar malam tadi, Kamake memberitahu beliau akan terus bekerja dengan pemain-pemain muda untuk membina sebuah skuad yang ampuh.

Terdahulu pasukan Papua New Guinea hadir dengan keyakinan selepas mereka berjaya mengikat Singapura 2-2 dalam perlawanan persahabatan, namun terpaksa akur dengan kualiti yang ada pada pasukan lawan.