Arif Aiman beri kredit pada rakan sepasukan bantunya sumbat 4 gol
Pemain sensasi pasukan kebangsaan, Arif Aiman menjadi wira buat Harimau Malaya apabila empat jaringannya berjaya membantu pasukannya membelasah Papua New Guinea 10-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Aiman yang bangga dengan persembahan pasukan pada malam tadi memberi kredit kepada rakan sepasukan yang membantunya untuk jaringkan gol.
“Alhamdulillah, pertama sekali saya bangga tapi bukan sebab 4 gol saya tapi kerana rakan sepasukan bantu saya untuk jaringkan gol pada malam ini,”
katanya.
Arif tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringannya apabila dimasukkan pada separuh masa kedua apabila menjaringkan gol pada minit ke-57′, 60′, 87′ dan 89′.
Dalam pada itu, beliau mengakui mereka bergelut pada separuh masa pertama kerana hanya menjaringkan satu gol sahaja, tetapi kata-kata semangat daripada ketua jurulatih Kim Pan-gon membuatkan mereka lebih bersemangat apabila masuk separuh masa kedua.
“Ya memang semua tahu separuh masa pertama memang kita bergelut sikit tapi coach sentiasa memberi semangat kerana kita berjaya cipta banyak peluang pada separuh masa pertama tapi tiada rezeki untuk gol.
Pada separuh masa kedua selepas saya, Faisal Halim dan rakan lain masuk, fokus kami adalah untuk menjaringkan gol untuk lebih selesa dari separuh masa pertama.”
Disebalik kejayaan dalam kedua-dua perlawanan persahabatan apabila berjaya menang 4-1 ketika menentang Kepulauan Solomon dan 10-0 ketika menentang Papua New Guinea, Arif berkata mereka tidak boleh berpuas hati lagi.
Ini kerana perlawanan-perlawanan yang dihadapi ketika ini adalah persiapan mereka untuk ke Piala Asia 2023 nanti.
“Bagi saya tiada sebab untuk saya berpuas hati kerana ini adalah persiapan kami ke Piala Asia dan persediaan ini amat penting untuk pemain dan pasukan Harimau Malaya.”
Beliau pada masa sama memberitahu akan terus perbaiki kelemahannya untuk terus mendapat kepercayaan ketua jurulatih.