Kelompok pemain B-17 yang dipilih tidak tepat, jurulatih harus bertanggungjawab – Raja Isa

563

Jurulatih berpengalaman yang berasal dari Malaysia, Raja Isa Raja Akram Shah menganggap bahawa terdapat kesilapan dari segi pemilihan pemain yang menjadi punca skuad B-17 negara gagal pada saingan Piala Asia B-17.

Beliau melihat bahawa jurulatih harus bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kegagalan tersebut dan mempersoalkan sama ada terdapat isu dalaman yang wujud.


“Saya agak kecewa dengan skuad B-17 negara, saya memang ikuti perkembangan NFDP sehingga sekarang dan mempunyai hubungan yang baik dengan pihak NFDP, jadi saya berani untuk beri komen.

Bagi saya kelompok pemain yang dipilih bukanlah tepat, saya memang kecewa dengan pemilihan pemain B-17 ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata, sepatutnya kumpulan pelatih ini sepatutnya sudah berjaya mencapai sasaran untuk layak ke Piala Dunia namun sudah dua edisi mereka gagal.

Raja Isa juga mendakwa bahawa ada favouritism yang berlaku dalam pilihan pemain, yang menyebabkan ada pemain yang berbakat tidak dipilih.

“NFDP ini adalah satu program yang baik, jurulatih haruslah dinilai semula sama ada mereka layak atau ada masalah dalaman.

Generasi ini sepatutnya layak ke Piala Dunia kerana mereka memang bagus, saya malu apabila skuad B-17 ini kalah.”

Mengenai skuad senior pula, Raja Isa tiada masalah dan percaya dengan peningkatan yang ditunjukkan di bawah ketua jurulatih, Kim Pan-gon.

Beliau yakin Malaysia mampu mencatatkan sekurang-kurangnya dua seri pada Piala Asia 2023 nanti, dan percaya jika pemain dapat menyerap semua yang dimahukan oleh Pan-gon, Malaysia boleh mara lebih jauh.