Skuad sepak takraw negara perlu bekerja lebih keras untuk pertahan emas di Sukan Asia
Sikap optimis Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tentang kemampuan mereka untuk mengekalkan pingat emas di Sukan Asia Huangzhou, China September ini agak meragukan berdasarkan statistik kejohanan lepas.
Baru-baru ini, Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan memberitahu bahawa berdasarkan prestasi semasa dan skuad sepak takraw yang ada ketika ini, mereka mampu untuk mengekalkan pingat emas yang dimenangi di bumi Indonesia pada tahun 2018.
Namun, berdasarkan statistik perlawanan-perlawanan yang lepas terutama semasa Sukan Sea 2023 di Kemboja baru ini prestasi pasukan tidak begitu memberangsangkan.
Kegagalan membawa pingat emas di Sukan SEA merupakan satu perkara penting yang perlu dipandang oleh barisan skuad jurulatih sepak takraw negara bagi mempersiapkan para pemain apatah lagi di Sukan Asia kemungkinan akan bertemu lagi dengan pasukan tersebut.
Sukan SEA seharusnya menjadi ‘tapak’ buat para pemain untuk meningkatkan keyakinan mereka lagi-lagi berjumpa dengan pasukan terhebat seperti Thailand di pentas akhir sekaligus dapat mengekalkan momentum untuk bertanding di Sukan Asia nanti.
Meneliti semula Sukan Asia Palembang pada tahun 2018 dahulu, prestasi lepas meskipun menang namun kelihatan Malaysia berada dalam kumpulan yang boleh dikatakan mudah tanpa seteru utama Indonesia dan juga Thailand yang tidak bermain bagi acara regu.
Selain itu, gandingan regu Malaysia ketika itu yang disertai oleh Syahir Rosdi, Zulkifli Abdul Razak, Norhaffizi Abdul Razak, Farhan Adam dan Azlan Alias berjaya sehingga ke perlawanan akhir selepas berjaya menewaskan Singapura di separuh akhir tanpa sebarang kekalahan set yang dimainkan dan seterusnya memenangi perlawanan akhir menentang Indonesia 2-1.
Meskipun kejayaan itu wajar diraikan sejurus 24 tahun kempunan untuk meraih pingat emas dan menjadi juara di Asia, namun berdasarkan prestasi semasa, mempertahankan gelaran juara asia tersebut mungkin satu cabaran yang amat besar.
Untuk Sukan Asia yang bakal berlansung September ini, acara regu dan regu berpasukan sahaja bakal menjadi fokus buat pasukan sepak takraw negara di Sukan Asia nanti, di mana Malaysia tewas kedua-dua acara itu kepada Thailand pada Sukan SEA.
Justeru, kira-kita tiga bulan lagi sebelum Sukan Asia membuka tirainya, pasukan Malaysia perlu memastikan mereka lebih baik dari prestasi pada Sukan SEA untuk meraih emas dalam kejohanan itu.