Apa pun yang berlaku selepas PRN Selangor, pembangunan Stadium Shah Alam perlu berjalan seperti biasa
Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor secara sahnya berkuatkuasa hari ini dan penyokong Selangor FC sudah mesti memikirkan apa yang bakal terjadi dengan proses pembangunan semula Stadium Shah Alam (SSA).
SSA yang bakal berubah wajah dalam tempoh tiga tahun lagi menjadi salah satu hub sukan terbesar di Malaysia mungkin akan terkesan dengan rombakan kerusi kerajaan Selangor sekiranya berlaku perubahan jawatan terutama Menteri Besar Selangor yang disandang oleh Datuk Seri Amirudin Shaari.
Amirudin juga yang terlibat secara lansung dalam melantik pihak yang bertanggungjawab untuk pembinaan projek ini iaitu Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) yang mana pembangunan ini dikatakan bakal bermula pada bulan Oktober tahun ini.
Projek yang dikendalikan oleh MRCB itu juga dianggarkan akan memakan nilai belanja sebanyak RM787 juta sekaligus membangunkan sekali kawasan sekitanya untuk membentuk satu hab sukan seperti dalam perancangan sebelum ini.
Perancangan untuk pembinaan semula SSA dibuat dengan teliti oleh kerajaan negeri sehinga sudah beberapa kali menunda untuk merobohkan stadium tersebut, katanya atas faktor kesesakan lalu lintas dan juga banjir yang berulang kali terjadi sehingga ada yang menunding jari terhadap Menteri Besar Selangor itu bahawa beliau hanya menunggu menjelangnya Pilihan Raya Negeri (PRN).
Namun, Amirudin turut memberitahu kepada peminat bola sepak Selangor bahawa perkara ini tetap akan dilaksanakan meskipun selepas PRN kelak kerana ia merupakan hasrat Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah dan juga Pengerusi bola sepak Selangor iaitu Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Diharapkan sekiranya berlaku peralihan jawatan dan parti selepas PRN Selangor nanti tidak memberi apa-apa impak terhadap pembangunan semula SSA kerana penyokong juga sedia maklum berkenaan perkara ini yang sudah dirangka begitu lama oleh kerajaan negeri.
Sekiranya terdapat gangguan yang berlaku selepas PRN selesai, pastinya ia akan mengecewakan para penyokong yang sudah begitu lama mengharapkan dapat kembali ke stadium keramat mereka itu.
Justeru, sekiranya negeri Selangor akan diterajui oleh pihak atau individu baharu selepas PRN nanti, mereka haruslah tidak mengganggu kelangsungan projek itu.
Ia bukan sahaja untuk manfaat pasukan Selangor, tetapi juga boleh dijadikan sebagai venue pilihan untuk Harimau Malaya pada masa hadapan.